PUTRAJAYA: Harga runcit maksimum minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari depan kekal pada RM6.90 sekilogram.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayob menerusi kenyataan pada Selasa berkata, turut dikekalkan harga adalah bagi kemasan botol dua kilogram (kg) RM13.30, 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90).

"Kementerian ini memaklumkan bahawa harga maksimum dikekalkan walaupun harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) di pasaran dunia mengalami peningkatan pada Disember lalu," katanya.

Menurutnya, pihak yang menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Pengguna juga digalakkan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan ketidakpatuhan undang-undang membabitkan harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen di pasaran melalui WhatsApp ke 019-2794317 atau 019-8488000, portal e-aduan di https://eaduan.kpdnhep.gov.my, call centre 1-800-886-800, e-mel [email protected], aplikasi Ez ADU KPDNHEP dan pusat arahan penguatkuasaan (ECC) di 03-88826088/6245," katanya. -- Sinar Harian