PUTRAJAYA: Harga minyak masak kemasan botol lima kilogram (kg) turun 60 sen kepada RM30.90 berbanding RM31.50 berkuat kuasa dari 8 Nov hingga 7 Dis ini, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini menyebut harga minyak masak kemasan botol tiga kg turun kepada RM19.60 daripada RM19.90, botol dua kg (RM13.30 daripada RM13.50) dan botol satu kg (RM6.90 daripada RM7.10).

KPDNHEP memaklumkan harga baharu itu ditetapkan selepas kerajaan meneruskan kawalan harga minyak masak sawit botol yang dilaksanakan sejak 8 Ogos lepas.

"Kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia," menurut kenyataan itu.

KPDNHEP menyebut mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"KPDNHEP menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran," katanya.

-- BERNAMA