SHAH ALAM: Harga purata bagi jualan runcit ayam mula dijual pada kadar RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram di Selangor berbanding harga sebelum ini yang mencecah RM10.50 sekilogram, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata harga purata itu adalah hasil daripada semakan semula dan perubahan harga yang dibuat peniaga semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Katanya, kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal serta stabil dan pengguna digalakkan untuk terus membuat pembelian secara bijak dengan sentiasa membuat semakan danperbandingan harga berdasarkan lokasi.

Mohd Zawawi berkata punca kenaikan harga ayam adalah kerana Malaysia masih mengimport barang mentah untuk membuat makanan ayam seperti jagung dan beliau menyarankan kepada kerajaan supaya melihat semula dasar keselamatan makanan.

"Jika jagung menjadi punca utama (kenaikan harga ayam), di Malaysia terdapat kawasan luas yang boleh diusahakan untuk produk pertanian seperti jagung, sama juga seperti sumber makanan asas yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memantau harga ayam bersama Pengarah KPDNHEP Selangor Mohamad Zikril Azan Abdullah di Pasar Awam Seksyen 6 di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata pada 13 hingga 19 Sept lepas, sejumlah 339 premis terdiri daripada pembekal dan peruncit telah diperiksa KPDNHEP Selangor susulan daripada situasi kenaikan harga ayam yang mendadak di pasaran.

"Sejumlah 247 (72.86 peratus) premis sedia patuh menjual pada harga lebih rendah dan pada harga yang disarankan iaitu RM9.50, manakala 86 (25.36 peratus) premis lagi bersetuju membuat perubahan harga jual dengan menurunkan harga secara serta-merta kepada RM9.50.

"Enam (1.76 peratus) premis lain pula setuju secara bersyarat untuk menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah," katanya.

Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan dijalankan secara harian di Selangor dengan memfokuskan kepada peniaga ayam di pasar awam dan basah serta tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 melalui mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan melalui perundangan antipencatutan.

-- BERNAMA