KUALA LUMPUR: Pelbagai barangan keperluan asas ditawarkan pada harga 15 hingga 20 peratus lebih rendah daripada di pasaran sempena Program Jualan Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan pada petang esok.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif yang melibatkan pelbagai agensi dan syarikat swasta itu dapat memberi manfaat kepada pengguna terutamanya golongan B40.

Antara barangan keperluan asas yang bakal ditawarkan termasuk telur ayam, ikan segar, cili merah, bawang besar, sardin dan susu pekat manis.

"Program ini susulan langkah penguatkuasaan yang diambil oleh 2,300 anggota penguat kuasa KPDNHEP seluruh negara termasuk menggerakkan lebih 1,000 pegawai pemantau harga bagi mengawal 480 produk kawalan di premis seluruh negara," menurut kenyataan itu.

Program itu akan dilancarkan di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini, pada 5 petang esok.

Kenyataan itu juga memaklumkan kementerian sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi pelaksanaan program tersebut di setiap negeri terutama di kawasan bandar besar, pinggir bandar dan pedalaman bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup ekoran peningkatan harga barangan keperluan asas.

-- BERNAMA