KUALA LUMPUR : Harga runcit terkini bagi petrol RON97 turun 5 sen seliter daripada RM4.05 kepada RM4.00 seliter bagi tempoh 29 September hingga 5 Oktober 2022.

Menurut Kementerian Kewangan menerusi kenyataan pada Rabu, bagi harga runcit petrol RON95 serta diesel kekal masing-masing dengan harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.

"Sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan, sepertimana yang dapat dilihat pada harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran," jelas kenyataan itu.

Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan akan ditentukan mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Ujar Kementerian Kewangan, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.