KUALA LUMPUR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami kerugian sebanyak RM700,000 akibat kerosakan landskap yang berlaku pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, perkara itu berkemungkinan berpunca daripada kehadiran pengunjung yang begitu ramai.

“Kehadiran pengunjung yang begitu ramai, beberapa landskap di kawasan berhampiran Dataran Merdeka telah rosak. Saya rasa ini agak luar biasa dan mungkin rekod baharu (jumlah pengunjung) untuk Kuala Lumpur ketika sambutan Hari Kebangsaan

“Sebelum ini kita tidak pernah jangka begitu ramai jumlah pengunjung jadi perkara yang berlaku ini jadi pengajaran dan DBKL akan cuba cari penyelesaian baharu dalam mesyuarat ‘post mortem’ untuk lihat semula segala aspek,” katanya ketika menghadiri malam apresiasi media di ibu kota pada Jumaat.


Sebahagian landskap yang rosak di kawasan sekitar Dataran Merdeka. - Foto DBKL

Selain isu kerosakan landskap, DBKL turut berdepan dengan cabaran taburan sampah sebaik sahaja selesai sambutan Hari Kebangsaan di beberapa kawasan terlibat.

Sebelum ini, DBKL turut menzahirkan kekesalan susulan kerosakan landskap yang dialami sewaktu sambutan tersebut yang turut memuat naik beberapa keping gambar.



Sambutan Hari Kebangsaan kali ini menerima sambutan yang agak luar biasa selepas dua tahun ia tidak disambut susulan pandemik COVID-19.

BACA: Hari Kebangsaan 2022: Lebih 20,000 banjiri Dataran Medan Bandar

Kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri lokasi sambutan yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.


Hari Kebangsaan 2022 | Keluarga Malaysia serlah semangat teguh bersama