JOHOR BAHRU: Sejumlah rumah, kedai serta harta benda seperti kereta dilaporkan rosak teruk susulan ribut dan hujan lebat yang melanda Johor Bahru dan Iskandar Puteri, petang tadi

Tinjauan Bernama mendapati antara yang terjejas ialah beberapa rumah penduduk di Kampung Pasir, di sini, yang bukan sahaja menyaksikan bumbung rumah tercabut malah turut dilanda banjir kilat.

Salah seorang penduduk kampung ,Hishamudin Ma'in, 48, menggambarkan kejadian yang berlaku kira-kira 3.30 petang itu seperti puting beliung, yang hanya reda kira-kira dua jam kemudian.

"Macam puting beliung petang tadi dengan angin yang sangat kuat, rumah saya sendiri bumbung teralih.

"Lihat ke luar tingkap langit sangat gelap dan kita tidak boleh nampak apa-apa sebab angin kuat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata penduduk di kampungnya itu sudah terbiasa dengan banjir kilat namun ini merupakan kali pertama ribut berlaku di kawasan itu.

Sementara itu, Zanariah Jaafar, 44, pula berkata tempat meletakkan kenderaan dan bumbung rumahnya musnah akibat ribut sementara air banjir kilat berada kira-kira di paras lutut.

"Kereta saya juga alami sedikit kerosakan. Bagaimanapun saya lega kerana tiada kecederaan dialami ahli keluarga, tetapi agak mengejutkan juga kerana sebelum ini banjir kilat sahaja, tetapi kali ini disertai ribut pula," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, PBK II Faisal Ismail menerusi satu kenyataan ,berkata sebanyak tiga buah kereta dihempap sebatang pokok akibat ribut di Simpang Empat, Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Bagaimanapun, kejadian pada jam 3.12 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kesemua mangsa sempat keluar daripada kereta masing-masing.

"Pihak bomba bertindak memotong pokok dengan menggunakan dua unit gergaji sehingga selesai (bagi mengalihkan pokok dan kereta) dan operasi tamat pada jam 5.40 petang," katanya.

-- BERNAMA