NEGARA kini berada di minggu kedua fasa transisi endemik selepas dua tahun dibadai persekitaran krisis kesihatan paling buruk dalam pelbagai sudut sejak COVID-19 melanda seluruh dunia.

Malaysia secara rasmi telah memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ bermula 1 April. Dengan keputusan itu, lima perubahan penting sedang dilaksanakan, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pertamanya, pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan, bermakna orang ramai boleh makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam. Keduanya, aktiviti solat jemaah di masjid, surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat bukan Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Ketiga, tiada lagi had kapasiti 50 peratus bagi aktiviti perkumpulan ramai. Had kapasiti pekerja dan majlis keramaian termasuk kenduri kahwin dimansuhkan. Keempat, semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka. Dan, yang terakhir dan sangat signifikan, sempadan negara dibuka semula selepas ditutup ketat lebih dua tahun.



Seperti di Malaysia, rakyat di banyak negara yang berhadapan dengan COVID-19 tidak lagi perlu mengasingkan diri secara sah dan ujian dikurangkan sebagai sebahagian daripada pelan peralihan untuk hidup bersama COVID-19.

Ia sebahagian daripada pelbagai langkah yang diperkenalkan untuk kembali menikmati ‘kebebasan’ era sebelum Covid-19.

Banyak negara telah mengumumkan peralihan kepada pendekatan endemik yang memberi tumpuan kepada usaha memerhatikan varian baharu dan bertindak balas dengan cepat terhadap wabak. Di Malaysia prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial di tempat awam masih dikuatkuasakan meskipun banyak kelonggaran dikuatkuasakan.

Apakah pula maksud peringkat endemik, dan bagaimana kita perlu dan harus menghadapi fasa ini? Gambaran umum menunjukkan bahawa jangkitan menjadi endemik apabila kadar menjadi statik di lokasi geografi tertentu, bermakna patogen yang menyebabkan satu-satu penyakit itu, termasuk COVID-19, berkemungkinan kekal dalam edaran tanpa menyebabkan wabak besar seperti yang disaksikan sejak Mac 2020.



Sejak beberapa hari lalu kes jangkitan di Malaysia berada di paras bawah 10,000 kes setiap hari. Satu penurunan yang ketara berbanding kadar yang direkodkan awal bulan lepas. Setakat Ahad lepas, secara kumulatif, negara telah mencatatkan hampir 4.3 juta jangkitan manakala kematian lebih 35,000 kes iaitu purata 50 orang meninggal dunia setiap hari.

Penyakit endemik bukan bermakna penyakit tidak terurus. Sebaliknya, apa yang diperlukan ialah peralihan daripada melihat COVID-19 sebagai ancaman sekali sahaja kepada melihatnya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian yang mesti kita pelajari untuk mengharungi dan melalui setiap hari.

Menurut satu laporan McKinsey, dikeluarkan akhir tahun lepas, pendekatan lengkap untuk mengurus COVID-19 endemik memerlukan pertimbangan empat elemen jalinan penting.

Pertama, masyarakat perlu mencapai kata sepakat mengenai beban penyakit yang boleh diterima dan menggunakan sasaran tersebut untuk menentukan norma baharu yang boleh diterima selepas ini. Bermakna normal baharu peringkat kedua selepas dua tahun dibadai krisis kesihatan paling buruk dalam sejarah dunia.

Seterusnya dunia memerlukan pendekatan komprehensif untuk menjejaki kemajuan terhadap standard ini, mentakrifkan protokol pengurusan penyakit baharu untuk mengehadkan kematian, dan mewujudkan amalan terbaik untuk memperlahankan penularan. Firma itu menjelaskan bahawa dilakukan serentak dan bersama, kesemua empat imperatif ini membentuk pendekatan komprehensif untuk pengurusan endemik COVID-19.

Walaupun usaha melakukan empat perkara itu nampak ringkas, tetapi usaha tersebut dilihat sebagai sesuatu yang luas, kompleks dan memerlukan tindakan merentasi semua segmen masyarakat, termasuk kerajaan, penyedia penjagaan kesihatan, majikan, pakar dan orang awam.

Malah menurut laporan itu, secara kolektif, empat perkara untuk menguruskan COVID-19 yang endemik memerlukan peralihan masyarakat yang penting.



Setiap pihak berkepentingan mempunyai peranan penting iaitu kerajaan boleh membina konsensus mengenai matlamat, berkomunikasi dengan hebat dan menetapkan insentif yang betul, majikan mungkin mempunyai peranan yang lebih tinggi, menetapkan dasar untuk tempat kerja mereka dan membantu pekerja mereka memikirkan perubahan tersebut, sistem kesihatan boleh mencapai keseimbangan yang tepat antara permintaan yang bersaing dan merancang bagi menghadapi wabak dan lonjakan yang tidak dapat dielakkan, dan yang terakhir, individu boleh mencabar keyakinan yang telah mereka kembangkan dalam tempoh 24 bulan lalu dan mengamalkan tata cara baharu kehidupan.

Pokoknya kita memerlukan satu pembaharuan dan perubahan ketara dalam merealisasikan normal baharu.

Pada hari ini, rakyat negara ini sudah menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada hidup seharian. Meskipun ramai masih berhadapan dengan keseriusan mengenai kadar jangkitan, kita tiada pilihan kecuali menerima hakikat bahawa kita perlu bertindak dengan proaktif untuk menghadapi masa depan, yang masih belum jelas kesudahan, bagi menjamin kelangsungan hidup di pelbagai peringkat.

Sama ada orang perseorangan, ketua keluarga, ketua organisasi, ahli perniagaan atau korporat, malah termasuk ketua kerajaan dan negara, setiap orang ada tugas dan tanggungjawab unik dalam fasa endemik. Kita tidak hidup seorang diri. Sebaliknya kitaran kehidupan bergantung antara satu sama lain. Kita perlu menggerakkan setiap aktiviti untuk melihat kelangsungan menyeluruh dan manfaat bersama.

Fasa transisi endemik meletakkan kita dalam persekitaran yang lebih mencabar. Selepas dua tahun pandemik, kita memerlukan pendekatan yang berlainan untuk mengharungi normal baharu kehidupan. Pihak berkuasa perlu tampil dengan dasar dan program baharu untuk memandu rakyat pelbagai lapisan bagi berhadapan dengan cabaran kehidupan sosioekonomi.



Secara umum tidak dapat dinafikan bahawa pihak berkuasa telah melakukan yang terbaik untuk membawa keluar rakyat dari fasa pandemik, termasuk memperkenalkan SOP yang boleh diterima dengan baik oleh rakyat, di samping melaksanakan program vaksinasi termasuk suntikan penggalak. Hari ini Malaysia antara negara yang telah berjaya dalam kedua-dua aspek tersebut.

Kejayaan itu turut membawa kita ke fasa seterusnya iaitu endemik. Kita perlu hidup bersama satu lagi masalah kesihatan iaitu COVID-19. Bermakna, kita telah keluar dari fasa yang serius ke fasa kesihatan yang boleh diterima tanpa kebimbangan besar.

Pun begitu kita masih belum bebas sepenuhnya. Kita belum boleh bangga. Kita masih belum merasai kebebasan sebelum Mac 2020. Selepas dua tahun berada dalam pandemik yang telah menyebabkan persekitaran songsang sama sekali, hari ini kita sedang menyesuaikan sedikit demi sedikit ke arah kehidupan normal.

Semuanya memerlukan kos yang membina dalam bentuk baharu. Keperluan ini memerlukan pelaburan yang berterusan oleh setiap pemegang taruh. Maka, adalah penting bagi pemimpin menyelaraskan insentif supaya pelaburan yang mencukupi dibuat merentas sektor dalam menguruskan fasa endemik COVID-19.

Mungkin yang paling sukar ialah anjakan minda. Ini kerana kita perlahan-lahan menerima hakikat bahawa COVID-19 bukanlah fenomena sementara. Sebaliknya perubahan struktur dalam cara kita hidup, yang memerlukan perubahan kekal dalam setiap tingkah laku.

Jika kita benar-benar mahu memperoleh semula kehidupan kita, sekarang adalah masa untuk mula membina semula rangka kehidupan normal baharu. Kita perlu membina kehidupan normal baharu dengan perancangan yang bersistematik, menyeluruh dan konsisten, yang akan melibatkan pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial.



Walaupun negara sedang menuju ke arah endemik dan jauh daripada wabak, sesetengah pihak memberi amaran kepada negara itu mesti bersedia untuk hari-hari sukar mendatang. Saya percaya bahawa kita perlu beralih dari status pandemik dan cara operasi, kepada lebih endemik, di mana kita menormalkan, mengambilnya dengan sangat serius, membuat persediaan, tetapi perlu keluar daripada mod panik.

Pandangan pakar kesihatan dalam dan luar negara menunjukkan kita masih belum bebas sepenuhnya dari COVID-19. Virus yang sama boleh menyebabkan jangkitan endemik, wabak atau pandemik. Ia bergantung pada interaksi tingkah laku publik, struktur demografi, kerentanan dan imuniti, serta sama ada varian virus baharu muncul pada satu hari.

Selain mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang lebih lengkap, orang ramai perlu menjaga kesihatan diri dengan lebih baik walaupun dalam peringkat endemik, dan disokong dengan sistem, mekanisme dan dasar yang lebih tersusun di pihak kerajaan.

Diharap kerajaan dapat mewujudkan satu pelan tindakan fasa transisi endemik yang lebih menyeluruh dalam waktu terdekat terutama dalam memastikan kerancakan ekonomi negara, mengurangkan inflasi dan menjadikan Malaysia Negara Mesra Pelabur, Memasyarakatkan Perdagangan dan Perindustrian demi kemajuan mapan.


* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim merupakan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Pengerusi Pameran dan Persidangan Majlis Penasihat Anggota, World Trade Centre Associations (WTCA)