Hasan Malek: Beri laluan kepada kerabat DiRaja dan VIP

Astro Awani
September 22, 2013 15:16 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek menggesa pengguna jalan raya untuk memberi laluan kepada pengawal bermotosikal yang mengiringi keluarga DiRaja atau golongan VIP, kerana ia adalah sebahagian daripada budaya Malaysia, lapor portal The Sun Daily hari ini.
Hasan berkata ini kerana mereka yang diiringi mempunyai tugas rasmi untuk dilaksanakan dan perlu tiba ke destinasi dalam masa yang ditetapkan.
"Saya telah menerima aduan bahawa apabila Raja-Raja kita menggunakan jalan raya, pengguna tidak memberi laluan.
"Kita mesti menghentikan perkara ini, menunjukkan rasa hormat kepada pemimpin-pemimpin kita adalah sebahagian daripada budaya kita," katanya dalam satu sidang akhbar.
Walaupun undang-undang menyatakan bahawa pengguna jalan raya hanya perlu memberi laluan kepada ambulan dan kereta bomba, Hasan menegaskan bahawa memberi laluan kepada pengawal bermotosikal harus menjadi sebahagian daripada budaya tempatan.
#Hasan Malek #jalan raya