Kandungan gas metana yang terlalu tinggi dalam udara boleh membawa maut kepada orang awam, kata Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Rizal Razali.

Dr. Mohd Rizal, yang juga merupakan pakar dalam bahagian pengurusan kimia dan organik berkata, keadaan ini boleh berlaku apabila kemampatan gas metana tinggi dan kandungan oksigen dalam udara berada di bawah paras 15 peratus.

“Agak berbahaya kepada orang awam sekiranya kandungan oksigen di dalam udara berada pada paras bawah 15 peratus.

“Ia boleh mengakibatkan pengsan dan membawa maut kerana kandungan oksigen yang disedut tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian terhidu gas dipercayai gas metana berikutan pembuangan bahan kimia secara haram berhampiran kawasan sekolah di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 7 Mac lalu, media tempatan melaporkan 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih diarah mengosongkan kawasan sekolah kira-kira jam 10.30 pagi Khamis apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Dilaporkan seramai 79 mangsa dirawat di hospital akibat pencemaran gas itu dengan empat orang, termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, seorang pengusaha kantin dan seorang pemandu ambulans masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Rizal berkata bagaimanapun, kesan sampingan seperti pengsan dan muntah-muntah boleh dielakkan sekiranya kandungan oksigen dalam udara ketika kejadian berada paras 23 peratus.

Ditanya kenapa gas metana tersebut menyebabkan beberapa pelajar terbabit pengsan dan muntah, beliau berkata, “kemungkinan pelajar terbabit sebelum itu mengalami masalah fizikal seperti kesesakan nafas dan kedudukan mereka dengan kawasan tercemar adalah terlalu dekat.”

Menyifatkan bahawa gas metana memberi kesan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur, Dr. Mohd Rizal menjelaskan simptom-simptom awal yang boleh dikenal pasti sekiranya seseorang terhidu gas tersebut adalah sesak nafas dan muntah-muntah.

Katanya, antara lokasi yang boleh menyebabkan orang awam terdedah dengan gas metana adalah kawasan pelupusan sampah dan pusat penyimpanan bahan kimia.

Namun, gas ini sukar untuk dikesan memandangkan ia tiada bau.

Susulan itu, Dr. Mohd Rizal menasihati orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan sekiranya berdepan dengan keadaan tersebut.

“Susah untuk mengenal pasti kewujudan gas ini. Apabila seseorang mengalami kesesakan nafas atau muntah, ini bermaksud kandungan oksigen yang diambil oleh mereka sangat berkurangan atau berlaku pencemaran udara.

“Saya sarankan supaya mereka menjauhi kawasan tersebut dan dapat rawatan segera kerana ia sangat berbahaya,” katanya.

Gas metana juga banyak digunakan dalam industri sebagai salah satu bahan bakar atau bahan yang menjadi campuran minyak bumi yang akan diolah menjadi bahan bakar ataupun bahan kimia yang lain. Sebagai contoh, ia sering digunakan untuk kegunaan harian seperti memasak.