PARIS:Organisasi polis antarabangsa Interpol menyeru agar dunia berhati-hati dengan organisasi penjenayah yang kini menyasarkan penjualan suntikan vaksin COVID-19 palsu.

Amaran tahap jingga dikeluarkan kepada pihak berkuasa dunia bagi mengingatkan tentang kemungkinan berlakunya pemasaran vaksin COVID-19 palsu, selain percubaan mencuri bekalan vaksin sebenar.

"Ketika dunia sedang sibuk untuk mengedarkan vaksin, penjenayah berusaha untuk memutuskan rantaian bekalan vaksin dengan menggunakan platform dalam talian seperti laman web palsu serta menawarkan penawar palsu yang boleh memberi risiko kepada kesihatan dan keselamatan.

"Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan bersiap sedia mendepani pelbagai cabaran berkaitan pengedaran vaksin COVID-19," kata Setiausaha Agung Interpol Jurgen Stock.

Dalam pada itu, Interpol mengingatkan supaya negara-negara ahli bersedia berdepan cabaran akibat tindakan organisasi tidak bertanggungjawab memalsukan vaksin dan menjualnya secara fizikal atau dalam talian.

Dunia semakin hampir memperoleh dos-dos vaksin pertama untuk melawan COVID-19.

Setakat ini, vaksin Pfizer dan BioNTech telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan di United Kingdom, manakala vaksin Moderna telah mengemukakan permohonan kegunaan kecemasan di negara itu, selain Amerika Syarikat dan Eropah, pada Isnin.