IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah perkenan golongan pengamal media diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di tiga masjid di Perak esok, bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan berlangsung di sini, pada 27-28 Mei ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dalam kenyataan berkata, ia bagi mengiktiraf peranan penting golongan berkenaan kepada negara.

Menurutnya, Sultan Nazrin juga telah menitahkan khutbah Jumaat itu bertemakan 'Kewartawanan : Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam'.

“Baginda turut memperkenankan pengamal media diberikan peluang dan penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Perak pada 26 Mei 2023,” katanya.

Menurutnya lagi, susulan daripada itu, Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak telah mengemukakan tiga nama pengamal media kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak untuk mendapat tauliah membaca khutbah di tiga buah masjid di Perak.

Katanya, Editor Rencana Agama dan Sastera, Berita Harian, Mohd Mazmi Yaacob telah diperkenankan tauliah untuk membaca Khutbah Jumaat di Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah II).

Di samping itu, tambahnya, wartawan Sinar Harian, Saifullah Ahmad diperkenankan membaca khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah dan Penerbit Rancangan RTM Perak, Mohd Fahmi Mohd Nor di Masjid Muhibbuddin Shah.

Minggu lalu, Sultan Nazrin berkenan golongan belia di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di beberapa masjid di Perak esok, bersempena sambutan Hari Belia Negara yang disambut 15 Mei lepas.

Mohd Annuar berkata, ia bagi mengiktiraf peranan penting generasi berkenaan kepada negara.