Kesemua enam mayat mangsa nahas helikopter telah ditemui namun identiti mereka belum dapat dipastikan.

Pengarah Bomba Selangor berkata bahawa proses mengeluarkan mayat mungkin selesai 9.30 malam ini, lapor Bernama.

Pada kejadian petang tadi, sebuah helikopter awam dilaporkan terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih.

Pasukan bomba Kajang dihantar ke lokasi sejurus kemudian untuk usaha menyelamat.

helikopter semenyih

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam Twitternya kemudian menyebut bahawa helikopter itu membawa enam penumpang.
Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.

"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan juga kejadian ini melibatkan orang kenamaan.

Dalam pada itu, seorang saksi mendakwa melihat helikopter malang itu meletup di udara sebelum terhempas dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang tadi.

Roslan Harun, 54, seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga stor berhampiran tempat kejadian, berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.

"Meletup terus, berkecai di udara, tak jauh dari tanah, kipas dan ekor helikopter terpelanting ke merata tempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Roslan yang ketika itu berehat di rumahnya kira-kira satu kilometer (km) dari tempat nahas helikopter itu, berkata beliau cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi membatalkan niatnya dan terus menghubungi Jabatan Bomba
dan Penyelamat (JBPM).

Menurutnya kawasan nahas itu terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan ini.

"Nak masuk ke tempat helikopter betul-betul terhempas, kita kena masuk 2km ke dalam kawasan kebun getah," katanya.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang tadi.