TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang tadi, dihentikan sementara malam ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi akan diteruskan pada pukul 8 pagi esok, memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan menentu sejak petang hingga ke malam ini.

Beliau berkata bagi tujuan SAR dan memantau perkembangan kes tersebut, sebuah Bilik Gerakan Operasi dibuka di Balai Polis Bidor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 pegawai dan 68 anggota terdiri daripada pasukan polis, termasuk unit udara dan Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Perhutanan.

"Helikopter telah diterbangkan pada pukul 4 petang bagi atur gerak tugas pencarian di kawasan sempadan Hilir Perak.

"Kita menerima maklumat orang ramai terdengar letupan di Jeram Mengkuang dan ada yang katakan helikopter terbang rendah di kawasan Kampung Kenangan, jadi Pusat Kawalan Tempat Kejadian akan didirikan esok pagi di kawasan pencarian.

Helikopter Hilang | SAR disegerakan kesan lokasi

BACA: Helikopter hilang: Radar kesan kehilangan altitud mendadak - CAAM

BACA: Helikopter swasta hilang di hutan sekitar Bidor

"Setakat ini kita tumpukan koordinat diberikan di Hutan Simpan Chikus dan kawasan yang diberikan maklumat oleh orang ramai. Pasukan SAR akan 'narrow down' kawasan pencarian pada esok hari," katanya pada sidang media di Balai Polis Bidor di sini kira-kira 70 kilometer dari Ipoh malam ini.

Katanya identiti mangsa belum dapat dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), hanya seorang juruterbang terlibat dan tiada penumpang yang dibawa menaiki penerbangan helikopter itu.

Difahamkan, juruterbang tersebut bukan warganegara Malaysia dan helikopter itu dipunyai seorang tokoh kenamaan bergelar Datuk.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media di sini hari ini dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu, terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

-- BERNAMA