KUALA LUMPUR: Helikopter dikendalikan seorang juruterbang yang hilang di kawasan hutan di Bidor hari ini telah merekodkan kehilangan altitud secara mendadak sebelum gagal dihubungi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo berkata, sistem radar di KLATCC telah merekodkan pergerakan helikopter berkenaan sebelum hilang jam 12.16 tengah hari.

“Sistem radar di KLATCC telah merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

“Pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang (namun gagal), walau bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh juruterbang itu.

“Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang dari satu minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah helikopter swasta dikhuatiri hilang di hutan sekitar Bidor

BACA: Helikopter swasta dikhuatiri hilang di hutan sekitar Bidor 

Katanya, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di KLATCC segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu.

Beliau berkata, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Jenis helikopter yang dikhuatiri hilang itu merupakan Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH yang dikendalikan oleh Heli Outpost Sdn Bhd.