ALOR SETAR: Bedah siasat ke atas mayat bayi berusia tiga bulan yang dibunuh bapa kandungnya di Kampung Sungai Lintang, Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, di sini, pada Isnin lalu menemukan mangsa mati disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian kepala.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pakar forensik turut menemui kesan luka dan lebam di beberapa bahagian tubuh bayi terbabit.

“Ada kecederaan pada bayi tersebut akibat daripada objek tumpul... kita klasifikasi (kes) bawah (Seksyen) 302 (Kanun Keseksaan) dan sepatutnya reman esok… habis reman kes ini kita akan rujuk pada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) seberapa segera. Kalau boleh kita akan tuduh terus, kalau tidak boleh tuduh, kita akan sambung reman,” kata beliau.

Wan Hassan berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Ramah Mesra Media bersama Ketua Polis Kedah di sini, hari ini.

Pada 10 Oktober lalu polis menemui mayat seorang bayi di atas katil di dalam sebuah rumah.

Dalam kejadian itu seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai bapa kandung mangsa ditahan.

Ketika kejadian isteri suspek berusia 22 tahun tiada di rumah selepas dipercayai bergaduh dan dipukul suspek lalu bertindak melarikan diri.

Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.