KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi dan ia tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

Produk-produk tersebut ialah Biela Beauty Glowing Night Cream; BL Skincare Day Cream 2; dan BL Skincare Night Cream yang mengandungi merkuri, sementara satu lagi BL Skincare Day Cream 1 mengandungi hidrokuinon dan tretinoin.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin boleh menyebabkan ketidakselesaan,kemerahan, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Manakala, merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, selain ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham menggesa penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut agar menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Ini kerana, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," ujarnya lagi.