SHAH ALAM: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak wajar terus dipertikaikan, tegas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Ini kerana katanya, proses pelantikan telah pun selesai dan ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik perdana menteri yang pada hemat Seri Paduka mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, sebaliknya tumpuan kini haruslah tertumpu kepada pembentukan kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat serta negara.
“Dalam keadaan sekarang, yang diperlukan bukan saja perpaduan nasional tetapi juga rekonsiliasi nasional.


“Hentikan pertikaian, perkasakan muafakat dan kerjasama.

“Satu proses pemulihan yang dapat membangkitkan semula keutuhan dan kekuatan negara bangsa yang mampu mendepani cabaran ekonomi, sosial serta politik global yang kian mencabar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

BACA: PANTAU KERAJAAN BAHARU!

Bekas penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu turut berharap agar Parlimen Malaysia menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara dengan nilai dan etika anggotanya.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar semua 221 orang ahli Parlimen yang telah terpilih itu akan menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

“Semoga Parlimen Malaysia menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara kita dengan nilai dan etika anggotanya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau. -- Sinar Harian