KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dimulakan jam 9 pagi tadi mengikut jadual.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, penyenggaraan aset utama ini dijangka siap pada jam 11 malam ini.

"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna bermula jam 5 petang 14 Okt (esok), setelah sistem bekalan air distabilkan.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam 16 Okt," jelasnya.

Senarai lengkap kawasan yang terjejas, pili air awam dan stesen pengisian air komersial boleh didapati menerusi pautan ini hentitugas.airselangor.com .

BACA: Penyenggaraan berjadual aset-aset Air Selangor, ini yang anda perlu tahu

BACA: 998 kawasan Lembah Klang akan alami gangguan bekalan air

Dalam pada itu, Air Selangor memberi jaminan, bantuan air alternatif turut disalurkan melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.