Polis Terengganu menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti air atau menghampiri tempat berisiko seperti sungai dan pantai negeri ini sepanjang musim tengkujuh ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar yang bakal berlaku boleh mendatangkan risiko bagi orang ramai dan pelancong yang melakukan aktiviti air ketika ini.

"Orang ramai perlu peka dengan keadaan cuaca dan persekitaran sebelum melakukan aktiviti di tempat seperti itu.

"Kesemua lokasi berkenaan adalah tidak selamat untuk mencari etok, remis dan seumpamanya sama ada di kawasan sungai mahupun pantai," katanya kepada pemberita selepas Program Polis Bersama Komuniti di Kampung Seberang Tuan Chik dekat sini, pada Sabtu.

Rosli turut meminta orang ramai berwaspada dengan fenomena ombak besar yang diramalkan melanda perairan negara.

"Kita harap mereka yang berada di sekitar kawasan pantai agar berhati-hati terhadap fenomena berkenaan dan patuhi arahan berpindah, jika diarahkan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menggerakkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda bagi menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di kawasan pantai dan sebagainya. - BERNAMA