PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua kementerian dan agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran untuk mengelak pembaziran perbelanjaan kerajaan.

Menurut Anwar, antara amalan pembaziran tersebut termasuk pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis atau program yang dilaksanakan.

Beliau berkata, jika amalan itu dapat dihentikan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

"Setiap agensi perlu mengurangkan pembaziran, menghentikan pembaziran, mengurangkan acara yang meriah dan megah.

"Ada jabatan umpamanya, tiap kali majlis atau perayaan, akan ada pakaian baharu, batik baharu dan beberapa persiapan baharu. Saya katakan, kita akan hentikan amalan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Khamis.

Anwar berkata, jika pun penganjuran majlis atau acara akan membabitkan pembelian pakaian baharu, ia boleh diedarkan kepada kakitangan gred rendah sahaja.

Katanya, pakaian berkenaan tidak seharusnya diberikan kepada beliau, menteri mahupun Ketua Setiausaha kementerian.

Perdana Menteri berkata, biarpun tindakannya tidak menerima kereta mewah mahu pun mengambil gaji diremehkan, ia mampu memberi impak kewangan yang besar jika dihimpunkan.

"Ada orang kata perkara kecil... saya tolak (kereta) Mercedes (mereka kata) perkara kecil. Saya tak ambil gaji, perkara kecil.

"Tapi, semua yang kecil ini, termasuk amalan memberikan hadiah kepada pembesar yang datang, tukar batik atau sampin atau pakaian pada setiap majlis, kalau tukar ini semua, saudara, yang kecil-kecil ini bergulung lautnya dan dapat dipulangkan kepada rakyat termiskin," katanya lagi.