ALOR SETAR: Hentikan provokasi negatif terhadap Pulau Langkawi yang mengatakan harga hotel dan makanan mahal, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, ada sesetengah pihak mencetuskan kempen negatif ke atas pulau legenda itu semata-mata untuk mengalakkan orang ramai melancong ke Thailand.

Menurut Muhammad Sanusi, data daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menunjukkan kehadiran para pelancong ke Langkawi tetap mengalakkan.

Malah, sektor pelancongan di Langkawi semakin rancak dengan kemasukan pelancong yang semakin meningkat selepas rentas negeri dibenarkan termasuk pada musim perayaan dan cuti umum.

"Kita tidak boleh halang orang nak pergi Thailand, tapi pada masa yang sama kita juga meningkatkan lagi tarikan di tempat kita di Langkawi.

"Langkawi pun mencatat kemasukan yang mengalakkan... mengikut LADA kita akan capai sasaran kemasukan pelancong ke Langkawi yang disasarkan tahun ini... akan tercapai dengan mudahnya.

"Jadi bukanlah makna bila orang ramai pergi Thailand kita terjejas... tak juga," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa hantaran di media sosial menggalakkan orang ramai untuk melancong ke Thailand berbanding Langkawi kerana mendakwa harga hotel dan makanan di pulau legenda itu jauh lebih mahal berbanding negara jiran.

Muhammad Sanusi melihat situasi tersebut sebagai sementara sahaja kerana kerajaan negeri akan bekerjasama dengan ejen-ejen pelancongan untuk mempergiatkan lagi promosi pelancongan di tanah besar dan pulau tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah hotel di Alor Setar pada Selasa.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi menghadiri Dialog Bajet 2023 Kerajaan Negeri Kedah bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Isahak Murat selaku moderator majlis.

Menurutnya, dialog yang diadakan itu ini bertujuan mendapatkan input daripada pihak lain yang turut berkongsi pandangan dan boleh digunakan dalam penyediaan bajet tahun 2023.