Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan untuk segera menghentikan apa sahaja bantuan kerajaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Yayasan Kepimpinan Perdana.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, selain desakan, Pemuda juga mengecam setiap tindakan Dr Mahathir yang memburukkan kerajaan serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang dibuat Tun M amat bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi yang diamalkan.

"Oleh itu Pemuda mendesak kerajaan untuk segera menghentikan segala bantuan termasuk kewangan dan harta tetap yang diberi kepada Yayasan Kepimpinan Perdana sejak dari penubuhannya termasuk bantuan penggajian kakitangan sedia ada.

"Pemuda juga memandang serius akan tindakan Tun M yang memperalatkan Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai salah satu platform untuk menjatuhkan kerajaan dan Najib," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan menyeru pengundi untuk menolak calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai suara bantahan kepada kepimpinan Najib.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, Dr Mahathir perlu menyatakan pendiriannya sama ada kenyataan beliau sebelum ini untuk menggunakan keputusan dua PRK itu sebagai satu pungutan suara terhadap kepimpinan kerajaan, masih relevan atau tidak.

Jelas Khairul Azwan lagi, dia akan mengutus surat kepada Najib untuk memberitahu pendirian Pemuda UMNO itu. "Kita akan buat secepat mungkin dan membangkitkannya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang," jelasnya.