KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa agar dihentikan serangan peribadi terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan prosiding rayuan melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut Timbalan Presiden Bersatu itu, tindakan tersebut tidak beretika dan mengganggu badan kehakiman serta mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.

Katanya, serangan peribadi terhadap para hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.

"Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara dan secara peribadi saya berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan.

"Maka, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi.

"Walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat daripada bersuara dan memberi kritikan, namun ia tidak bererti mana-mana individu boleh melakukan serangan secara peribadi, apatah lagi disulami dengan niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Ancaman terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan Tengku Maimun Tuan Mat dikesan dalam pelbagai platform media sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sudah pun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung.

"Setiap daripada rakyat negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan integriti institusi badan kehakiman senantiasa dipertahankan," ujarnya.