KUALA LUMPUR : Sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 21/2022 (pada 28 Mei 2022), sejumlah 65,535 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 27 kali ganda bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,333 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19) dengan kes sebanyak 29,846, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.2 kali ganda.

Manakala kes HFMD yang dilaporkan bagi ME 21/2022 adalah 18,602 berbanding 15,548 pada ME 20/2022 iaitu peningkatan sebanyak 19.6%.

"Pada tahun 2022, sehingga 28 Mei, Selangor menyumbang jumlah kes HFMD tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes(28.27%), diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya 8,088 kes (12.34%), Perak 5,810 kes (8.87%), Kelantan 4,905 kes (7.48%), dan Sabah 4,077 kes (6.22%).

"Sebanyak 59,831 kes HFMD (91%) dilaporkan dalam kalangan kanakkanak berumur 6 tahun ke bawah dan 4,593 kes (7%) adalah kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun.

"Survelan enterovirus pula mendapati tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022; iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71)," jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 913 wabak (61%) diikuti di rumah persendirian dengan 526 wabak (35%) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak (3%)

Untuk pengetahuan umum juga, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Sehubungan itu, KKM ingin menegaskan kepentingan menjalankan saringan kesihatan kepada kanak-kanak di pintu masuk taska/ tadika/tabika/ pra-sekolah, dan pusat-pusat asuhan dan pembelajaran kanakkanak bagi mengesan kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit berjangkit termasuk HFMD.

Sehingga 29 Mei 2022, sebanyak 1,17 premis taska/ tadika/ tabika/ prasekolah telah ditutup; iaitu 228 premis secara sukarela dan 946 premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Manakala, sebanyak 715 premis (61%) telah  dibuka semula setelah pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati langkah basmi kuman telah diambil dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan yang lain telah dilaksanakan oleh premis tersebut.