KUALA LUMPUR: Sabah merekodkan tren peningkatan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak kira-kira 51 kali ganda iaitu, 2,834 kes bagi tempoh Januari hingga 16 Mei berbanding 55 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, lima daerah melaporkan kes tertinggi iaitu Tawau dengan 435 kes, diikuti Sandakan 387 kes; Lahad Datu (308 kes); Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes).

Bagaimanapun jelasnya, tiada kematian disebabkan oleh HFMD dilaporkan setakat ini di Sabah.

"Sebanyak 93.1 peratus kes adalah kanak-kanak yang berumur kurang enam tahun. Malah, Trasmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Rose Nani menjelaskan, HFMD merupakan penyakit menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut yang disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus).

Katanya, kanak-kanak berusia bawah lima tahun adalah golongan yang mudah dijangkiti HFMD.

"Sehubungan itu, pihak JKNS menyaran dan menasihatkan para ibu bapa serta pusat pendidikan awal supaya mengambil langkah-langkah awal sekiranya mengesan kes HFMD.

"Selain itu, kesedaran mengenai kebersihan perlu berada pada tahap tertinggi," katanya.