KUCHING: Jangkitan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Sarawak menunjukkan peningkatan walaupun dalam keadaan terkawal dengan jumlah kumulatif ialah 483 kes dalam tempoh Januari hingga 14 Mei 2022.

Menurut Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), sebanyak 148 kes dilaporkan bagi tempoh epid ke-19 iaitu 8 hingga 14 Mei ini berbanding 25 kes pada minggu epid sebelumnya.

Setakat 14 Mei 2022, katanya bahagian Miri melaporkan kes tertinggi iaitu 90 kes diikuti Kuching (74), Limbang (61), Samarahan (57) dan Bintulu (46).

"Sehubungan itu ibu bapa kepada kanak-kanak yang menghidapi HFMD dinasihatkan supaya tidak menghantar anak mereka ke pusat pendidikan awal dan sekolah atau bermain dengan kanak-kanak lain bagi mengurangkan penularan

"Mereka juga dinasihatkan untuk membawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya anak-anak kelihatan tidak sihat, lesu atau semakin tenat, ibu bapa dinasihatkan supaya membawa mereka berjumpa dengan doktor atau ke hospital terdekat untuk pemeriksaan dan rawatan perubatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI pada Khamis.

Sementara itu, Dr Ooi turut menasihatkan pihak yang bertanggungjawab untuk tempat seperti taman asuhan kanak-kanak, tadika dan juga sekolah untuk melaksanakan apa-apa nasihat dan arahan yang diberikan oleh pegawai kesihatan bagi mencegah penularan penyakit ini.

Beliau turut menegaskan, sekiranya perlu JKNS akan mengambil tindakan menutup sementara pusat asuhan kanak-kanak, tadika, atau pra sekolah bagi mengekang HMFD daripada terus menular di negeri ini.

“Sekiranya perlu bagi mengekang penularan penyakit berjangkit yang serius, kita mungkin akan melakukan penutupan pusat asuhan kanak-kanak, tadika, prasekolah di bawah Seksyen 18(1)(d), Akta 342 Pencegahan dan Kawalan Akta Penyakit Berjangkit 1988," tegasnya.