KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki yang disokong oleh lapan parti politik mendesak supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap serta-merta oleh agensi penguatkuasa.

Dalam mengelakkan episod rasuah daripada terus berulang, jawatankuasa itu juga mendesak agar proses undang-undang ke atas Azam Baki bermula dengan segera serta menggesa rombakan SPRM dibuat seterusnya diletakkan di bawah Parlimen.

Kenyataan yang dibuat Jawatankuasa pada Selasa ini turut disokong 17 kumpulan masyarakat sivil dalam negara.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan turun ke jalan raya untuk berhimpun secara aman bagi menyatakan tuntutan rakyat supaya ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan untuk kepentingan rakyat dan negara.

Perhimpunan itu akan diadakan pada 22 Januari (Sabtu) jam 11 pagi di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.

Ini jelasnya, berikutan rakyat sekian lama dibiarkan tanpa penjelasan yang memuaskan daripada kerajaan dan pihak berkuasa.

Malah katanya, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 19 Januari ini bagi menyiasat Azam Baki juga telah ditangguhkan.

Antara lapan parti yang terlibat menyokong jawatankuasa ini termasuk Keadilan, DAP, Amanah, Pejuang, Parti Sosialis dan MUDA.

Bagi 17 kumpulan masyarakat sivil, antara yang terlibat menyokong adalah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), serta Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).