LARUT: Pihak berkuasa akan menggunakan segala peruntukan undang-undang untuk mengadili Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Bagaimanapun, disebabkan Suruhanjaya Sekuriti telah mengeluarkan kenyataan, perkara itu perlu diserahkan dahulu kepada suruhanjaya berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pihak perlu mematuhi undang-undang dan tidak mendahului pihak berkuasa.

“Selepas itu kalau ada lagi tindakan yang selanjutnya, kita, saya sebagai Menteri Dalam Negeri yang melihat kaedah-kaedah yang lain, kita juga akan mengunakan segala apa undang-undang yang sedia ada.

“Jadi tak payahlah kita nak mendahului orang lain, yang pentingnya kita sesama kita ini faham, kita nak lakukan sesuatu itu, kita sendiri pun sepatutnya mengetahui kedudukannya supaya kita tidak melanggar undang-undang, sama ada undang-undang tu kecil besar, ia masih lagi merupakan undang-undang,” katanya.

Beliau ditemui selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Tapah, Selama, Perak pada Sabtu.

Menurutnya, adalah tidak wajar peserta perhimpunan sendiri melanggar undang-undang sedangkan tujuan mereka berhimpun adalah untuk memberitahu bahawa mereka tidak mahu orang melanggar undang-undang.

Pada Sabtu, beberapa kumpulan, termasuk dari parti politik menyertai Perhimpunan #TangkapAzamBaki di beberapa lokasi di sekitar ibu negara.

Perhimpunan itu diadakan bagi mendesak agar proses undang-undang ke atas Azam Baki bermula dengan segera, serta menggesa rombakan SPRM dibuat dan seterusnya diletakkan di bawah Parlimen.