Datuk Seri Najib Tun Razak berkata prasangka dan ketakutan terhadap Islam atau Islamofobia terutama dalam kalangan dunia Barat berpunca daripada salah faham mereka terhadap ajaran sebenar Islam
yang telah disalahertikan sesetengah pihak.

Perdana Menteri berkata daripada sudut tertentu, kesalahan perlu diletak di bahu segelintir umat Islam sendiri yang mempamerkan contoh salah dan tidak menggambarkan Islam yang sebenar.

Ini, katanya, termasuk pengebom bunuh diri, militan Daesh dan perkembangan ideologi kemelampauan atau ekstremisme.

"Lantaran itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam pengganas yang berlaku baru-baru ini antaranya di Indonesia, Belgium, Perancis, Turki dan Bangladesh," katanya dalam perutusan bersempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam di negara ini pada Rabu.

Semalam, pengebom bunuh diri menyerang tiga bandar di Arab Saudi iaitu Madinah, Qatif dan Jeddah.

Najib menegaskan kerajaan akan sentiasa memantau bagi memastikan sebarang pengaruh ideologi mahupun ajaran dan amalan yang menyimpang daripada Islam yang sebenar tidak berkembang di negara ini.

Selain syiar Islam, Najib dalam perutusan itu mengulas mengenai soal keamanan, perpaduan, ekonomi negara dan usaha gigih Barisan Nasional (BN) dalam memacu kemajuan negara dan membela nasib rakyat.

Menyentuh soal keamanan, beliau melahirkan sanjungan di atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas di segenap pelosok tanah air termasuk Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Najib bagaimanapun menzahirkan simpati dengan nasib saudara seakidah di Timur Tengah yang bergolak, dan ini menjurus kepada komitmen Kuala Lumpur untuk mengambil 3,000 migran Syria dalam tempoh tiga tahun.

"Malaysia akan terus beristiqamah dalam membela dan memperjuang nasib golongan tertindas di serata dunia sedaya mungkin sebagaimana bantuan sewajarnya yang dihulur kepada rakyat Palestin dan kaum pelarian Rohingya," katanya.

Menyentuh soal perpaduan, perdana menteri berkata ia selama ini telah ditonjolkan masyarakat majmuk di Malaysia sehingga menjadi tiang seri dan aset terpenting pembikinan serta kemajuan negara ini.

Menurutnya, aspek bersatu dalam kepelbagaian terserlah dalam keunikan Malaysia menyambut enam perayaan utama dalam takwim persekutuan yang diraikan seluruh masyarakat.

"Namun, kita berasa sedih bila timbul hasutan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, tak kiralah atas nama politik atau apapun, sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian yang wujud sekian lama," kata Najib.

Berhubung soal ekonomi negara, beliau berkata beberapa perkembangan positif selain pengiktirafan badan dan agensi berwibawa luar negara menggambarkan bahawa ekonomi Malaysia kekal kukuh di landasan yang sihat dan betul dalam menuju status negara maju berpendapatan tinggi.

"Mutakhir ini meskipun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, KDNK pada suku pertama tahun ini tetap mencatat perkembangan iaitu pada kadar 4.2 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Najib melahirkan syukur kerana rakyat terus menyokong BN seperti yang dilihat dalam kemenangan besarnya pada pilihan raya Sarawak dan pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.

"Inilah kaedah yang betul bagi rakyat memilih kerajaan secara sah dalam sebuah negara berdemokrasi seperti Malaysia dan bukannya sesuka hati membuat referendum atau melalui deklarasi tidak sah dari segi lunas perlembagaan," katanya.

Kerajaan, katanya, akan terus mendengar keluh kesah rakyat terutama berkaitan kebajikan dan kos sara hidup.

Najib menarik perhatian bahawa banyak projek dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat seperti inisiatif Rumah Mampu Milik, Lebuhraya Pan Borneo dan projek sambungan laluan LRT Ampang dan Kelana Jaya.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, beliau mengakhiri perutusan itu dengan mengajak rakyat supaya berjiwa besar dengan membuka seluas-luasnya jendela kekeluargaan, persahabatan dan perpaduan serta ikatan silaturahim 1Malaysia.