Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merupakan seorang tokoh yang mampu menyatukan seluruh ahli di dalam komponen Barisan Nasional (BN) dan menaikkan semula imej gabungan itu di mata rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail menegaskan, BN kini juga harus dilihat berani bersuara demi memperjuangkan nasib rakyat dan sudah bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan kemenangan lebih- lebih lagi kini menjadi parti pembangkang.

"Pemuda UMNO Selangor menyambut baik saranan dan menyokong Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor untuk memberi sokongan kepada Hishamuddin sebagai calon yang paling sesuai untuk menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung BN.

"Siapa yang tidak kenal Hishammuddin, bekas Naib Presiden UMNO yang penuh berkomitmen, berpengalaman luas dan mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dalam politik.

"Ia sekali gus membuktikan keistimewaan dan kekuatan BN adalah satu kesepakatan kukuh dalam kepelbagaian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: Setiausaha Agung BN: Tiga lagi negeri sokong Hishammuddin

BACA: Hishammuddin calon terbaik Setiausaha Agung BN - penganalisis


Sebelum ini, beberapa negeri termasuk Sabah, Perlis dan Johor menyatakan sokongan kepada Hishammuddin sebagai Setiausaha Agung BN.

Sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan, tiga pemimpin BN iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran; dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengadakan perjumpaan pada 27 Ogos lalu.

Menerusi perjumpaan tersebut, sumber mendakwa ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti komponen tersebut bersetuju dengan sedikit perubahan jawatan, dan mencadangkan Hishammuddin dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung BN.

Menurut laporan tersebut lagi, sumber menambah Hishammuddin mampu menggalas tanggungjawab tersebut kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam politik negara.

Dalam pada itu, jelas Rizam, kekalahan BN di peringkat nasional adalah satu hikmah yang baik dan harus diakui semua.

"Dengan Muafakat Nasional hari ini antara UMNO dan Pas serta sokongan penuh dari MIC dan MCA, kita yakin dan percaya bahawa semangat dan kepercayaan rakyat sudah mula yakin kembali kepada BN," katanya.

Tambahnya, inilah masanya BN muka bekerja dan lebih agresif dalam mendepani cabaran yang mendatang.