Tidak ada sekatan untuk jurucakap-jurucakap usul UMNO untuk berbahas, namun, ia harus diingati bahawa apa yang dibahaskan di Perhimpunan bukan sahaja didengar dan dilihat oleh perwakilan ahli-ahli UMNO sahaja, tetapi ramai rakyat diluar sana yang berbilang kaum dan agama.

Ini adalah nasihat Pengerusi Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kepada jurucakap-jurucakap usul Majlis Tertinggi dan sayap-sayap UMNO, hari ini.

Beliau berkata beliau telah mengingatkan jurucakap-jurucakap tersebut supaya semasa berbahas, biarlah ia bersandarkan pada fakta, tidak beremosi, rasional dan berpijak di atas bumi yang nyata.

“Kalau kita nak bincangkan isu-isu yang berbaur perkauman, isu-isu keagamaan, yang isu-isu berkaitan dengan dasar, kalau sekiranya kita terlalu beremosi, itu kadang-kalanya disalah tafsir sebagai pendirian UMNO. Tetapi nak kawal setiap jurucakap, agak susah.

“Juga diingatkan bahawa forum kita tidak berkisar kepada perwakilan sahaja, ramai di luar sana yang sedang memerhatikan perbahasaan UMNO,” katanya di dalam satu sidang media selepas memberikan taklimat kepada jurucakap-jurucakap usul Majlis Tertinggi dan sayap-sayap UMNO.

Hishammuddin berkata Timbalan Pengerusi UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut bersetuju dengan apa yang diluahkannya.

“Dengan dunia sosial media sekarang ini, kita tidak boleh sekat apa yang diluahkan. Lebih baik kita realistik dalam kedudukan kita, dan kita membuat rancangan ke hadapan,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa beliau gembira kerana orang ramai masih berminat kepada perhimpunan UMNO.

“Kalau orang tidak kisah kita berhimpun, kalau orang tidak kisah bahawa perbahasaan kita membawa makna dan nilai, itu bermakna petanda yang cukup buruk kepada parti,” katanya sambil menambah apa yang dimahukan ialah UMNO lebih inklusif, lebih terbuka dan lebih demokratik.