GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membongkar sindiket pengedaran dadah yang menjadikan inap desa atau homestay sebagai pusat memproses, membungkus dan mengedar dadah.

Ia susulan tertangkapnya dua pasangan suami isteri termasuk 'pakar memasak heroin' dalam serbuan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, dalam serbuan di Bukit Mertajam itu, polis menahan sepasang suami isteri berusia 40 dan 50 tahun sebelum menahan seorang lelaki berusia 54 tahun yang juga tukang masak dadah bersama pasangannya di Permatang Nibong.

Tangkapan pasangan terbabit membawa kepada penemuan sebuah makmal haram di sebuah rumah inap desa di Kulim, Kedah yang menjadi lokasi memproses dadah jenis heroin.

“Hasil siasatan lanjut pada 17 November lalu, polis menangkap sepasang suami isteri berusia 54 dan 50 tahun dna menemui 13 bungkus heroin dengan berat 5.2 kilogram… polis juga telah serbu homestay di Kulim yang dijadikan makmal dadah heroin,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Katanya, di makmal haram itu polis turut merampas satu ketulan mampat heroin base (375 gram) satu peket heroin seberat 60 gram, 12,000 gram serbuk kafein, sebotol cecair klorofom dan peralatan memproses dadah.

Beliau berkata, sindiket yang aktif sejak Jun tahun ini turut memproses dan mengedar dadah jenis heroin serta ganja bagi pasaran Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam operasi berkenaan, polis merampas dadah jenis heroin, ganja  dengan dan peralatan memasak dadah dianggarkan bernilai RM126,840 serta menyita sebuah kereta jenis Honda Civic.

Sementara itu, Mustafa berkata, suspek yang berusia 54 tahun sudah lama terlibat dengan aktiviti dadah mempunyai kepakaran memasak dadah heroin dan kini menurunkan ilmunya kepada 'pelapisnya'.

Kata Mustafa, polis kini sedang mengesan ahli sindiket yang terlibat memproses dadah berkenaan

Selain itu, Mustafa berkata, suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau sejak 1995 membabitkan dadah menyerahkan heroin ini.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah dan kesemua mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 November ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.