Pada waktu sesi pandu uji untuk media ini diadakan beberapa minggu dahulu, jumlah tempahan yang telah Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) terima sudah mencecah 13,000 unit – lebih kurang tiga bulan selepas ia dilancarkan secara rasmi. Sudah tentu angka ini sudah meningkat lagi. Pasti ini menggembirakan pihak HMSB?

Itu sudah pasti, tetapi di sebaliknya ada juga kegelisahan. Bagaimana tidak? Waktu menunggu sebelum kereta yang ditempah dapat diserahkan kepada pembeli boleh mencapai sehingga lima atau enam bulan. Ada juga penulis tanyakan kepada pihak HMSB jika ada pembeli yang membatalkan tempahan kerana situasi ini, tetapi mengikut mereka nampaknya ini tidak berlaku.

Harus kami nyatakan di sini bahawa tiada apa yang HMSB boleh lakukan. Pengeluaran dari kilangnya di Melaka sudah di tahap maksima; bukan kerana had sudah dicapai, cuma kerana bekalan daripada vendor – di Malaysia dan Thailand – adalah terhad. Populariti HR-V ini satu situasi global dan memang permintaan jauh melangkau bekalan.

Dikatakan sebaik sahaja masalah bekalan – serta isu-isu berkaitan – dapat diatasi, masa menunggu akan dapat dikurangkan. Mengikut HMSB, ini diharap akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.

Apakah itu HR-V?
Industri automotif memang pandai mewujudkan segmen yang semakin terperinci. Perlukah ada SUV yang kompak, tanpa pacuan semua roda dan output enjin yang tidak ubah seperti sedan segmen B atau C? Dalam kata lain, pernahkah anda terfikir bahawa Honda Jazz akan menjadi produk yang lebih baik jika ia lebih tinggi dan kelihatan seperti sebuah SUV?

Nampaknya dengan sambutan yang begitu hangat daripada pembeli, memang ada.

Ingatkah anda lagi dengan Toyota Rush? Ford EcoSport? Kedua-duanya muncul jauh lebih awal daripada HR-V, tetapi salah satu terjual dengan agak banyak dengan impak yang tidak menyakinkan (Rush) manakala EcoSport pula tidak mendapat sambutan seperti yang diterima Fiesta.

Jadi itulah dia – Honda HR-V adalah sebuah SUV kompak dengan pacuan roda hadapan yang berkongsi platform sama (dengan sedikit perbezaan) dengan Jazz dan City. Tetapi, model baharu ini dikuasakan dengan enjin lebih besar iaitu unit 1.8-liter SOHC i-VTEC dengan output 141hp dan 172Nm.

Apa yang pembeli mahu?
Kita fokus kepada apa yang mungkin menjadi tarikan pembeli kepada SUV kompak ini. Dan kita cuba lihat setiap faktor-faktor ini dengan lebih teliti.

Rekaan: Sudah pasti ini adalah soal citarasa masing-masing, cuma dengan imbangan rekacipta moden dan identiti Honda yang kuat, HR-V ini memang menarik. Lampu hadapan jenis LED beserta barisan DRL jenis LED adalah baharu dan sebelum ini hanya dipasang pada varian termahal Accord dan MPV Odyssey. Satu lagi tarikan adalah hendal pintu belakang yang tersorok, memberi kesan visual ‘coupe’ kepada model ini.

Saiz: Walaupun berkongsi platform Jazz dan City, terdapat perbezaan yang ketara dari segi saiz. HR-V adalah lebih lebar dan tinggi daripada City (sebanyak 77mm dan 158mm), namun secara keseluruhan adalah lebih pendek sebanyak 146mm daripada sedan segmen B tersebut.

Keluasan praktikal tidak ubah seperti kabin City yang (sedikit) besar, ditambah lagi dengan tempat duduk tinggi untuk sensasi ia lebih besar dari sebenarnya.

Terdapat 437 liter ruang kargo di belakang; kurang sedikit daripada 536 liter yang ada di dalam sebuah Honda City, tetapi HR-V memberi lebih fleksibiliti dengan bumbung lebih tinggi. Dan seperti CR-V, kerusi barisan belakang boleh dilipat untuk memberi pilihan tambahan melalui mod Utiliti, mod Tinggi dan mod Panjang.

Secara mudahnya, HR-V ini cukup sesuai untuk pelbagai kegunaan, lebih-lebih lagi untuk keluarga kecil tidak kira di persekitaran urban atau luar bandar. Penumpang di belakang selesa dengan ruang untuk kaki yang cukup dan ia juga dapat membawa jumlah muatan yang banyak.

Teknologi: Ada beberapa keunikan yang membezakan HR-V dengan model Honda yang lain, terutamanya penggunaan corong penyaman udara memanjang di hadapan penumpang hadapan. Mengikut Honda, ini bukan sekadar untuk kelihatan berbeza tetapi untuk fungsi penyejukan yang lebih baik.

Penulis juga beranggapan ia berlaku kerana skrin sentuh 7-inci yang ada menjadikan rekaan dua corong di tengah sebagai kurang menarik. (Nota: hanya varian ‘V’ sahaja yang dilengkapi skrin sentuh ini, dan varian ini sahaja yang disediakan untuk pandu uji)

Skrin sentuh ini turut memudahkan penggunaan fungsi panggilan Bluetooth di samping sambungan HDMI ke telefon pintar yang terpilih. Selain itu, ketersambungan dengan fungsi Siri (pada iPhone) menjadi lebih mudah.

Keselamatan: HR-V varian V yang kami pandu dilengkapai enam beg udara, namun semua ciri keselamatan lain adalah standard bagi semua varian. (varian S dan E datang dengan sepasang beg udara)

Ini termasuk VSA (Vehicle Stability Assist), Hill Start Assist dan automatic brake hold. Penggunaan brek tangan jenis elektrik membolehkan pereka Honda untuk menjadikan ruang tengah lebih kemas.

Ketika Pemanduan
Enjin 1.8-liter yang ada tidak terasa terlalu sukar untuk memacu SUV kompak ini walaupun dengan tiga orang dewasa di dalamnya. Walaupun begitu, jalan yang kami tempuhi di pulau Langkawi tidak berbukit.

Dan ada juga ketika apabila penulis berasa kurang yakin untuk memintas kenderaan kerana tindak balas kuasa yang kurang menyengat. Kotak gear CVT yang digunakan mempamerkan prestasi seperti di model-model Honda yang lain, tetapi ia juga jauh lebih senyap kerana tambahan lapisan penebat bunyi.

Hasilnya adalah pemanduan yang lebih sunyi dari yang dijangka. Dari segi keselesaan, sistem suspensi mampu menyerap gegaran daripada permukaan jalan yang sedikit kasar; cuma ia tidak mampu untuk memberi kemampuan yang sama bila kelajuan bertambah atau permukaan lebih mencabar. Penumpang belakang sudah pasti akan merasa kekurangan ini lebih mudah daripada yang di hadapan.

Oleh itu, adalah elok untuk mengatakan bahawa HR-V lebih menyinar apabila dipandu dengan tenang; ini bukanlah sebuah sedan, dan pastinya bukan sebuah kenderaan berprestasi tinggi jadi ia perlu diperlakukan seadanya.

Yang lebih perlu ditekankan adalah apa yang penulis anggap sebagai satu kekurangan pada kemampuan SUV kompak ini untuk menyejukkan kabin di hari panas. Ketiadaan corong penyaman udara untuk penumpang belakang amat dirasakan. Suhu panas di Langkawi sewaktu kedatangan kami mungkin adalah keadaan ekstrem, tetapi ketidakselesaan penumpang belakang walaupun suhu dan kipas sudah maksimum – manakala mereka di hadapan sudah sejuk – adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian.


Rumusan
Honda HR-V mempunyai beberapa kualiti yang menjadikannya sebuah pilihan menarik, seperti yang dibuktikan dengan sambutan yang begitu hebat. Ia sebuah kenderaan yang menarik minat dari segi visual, ditambah pula dengan imej jenama yang semenjak beberapa tahun ini memberi produk-produk yang menepati citarasa pembeli.

Lebih dari itu, rekabentuknya yang moden itu turut diiring dengan ciri dan fungsi yang terkini seperti ketersambungan terus dengan peranti iPhone.

Hakikatnya, ia sebuah kenderaan yang mudah untuk disukai. Dan ia pasti jadi lebih bagus jika ruang belakang dipasang corong penyaman udara. Tetapi, adakah ia sungguh bagus hingga menjadikan penantian enam bulan sebagai berbaloi? Mungkin tidak, tetapi apakah pesaing yang dapat memberikan kenderaan sepertinya?
ModelHonda HR-V
Enjin1,799, 4 silinder sebaris, SOHC i-VTEC
GearCVT
PacuanRoda hadapan
Prestasi140hp @ 6,500rpm, 172 2 4,300rpm
Keselamatan(Varian V) 6 beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), brek parkir elektrik, sensor undur
Berat1,249kg
HargaRM114,744.77 (atas jalan, tanpa insurans)