KUALA LUMPUR:Hospital swasta berdepan cabaran berkaitan kemampuan dan kapasiti infrastruktur untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh menjelaskan, hospital kerajaan sebaliknya mempunyai lebih ramai pakar selain sumber manusia terutama untuk merawat pesakit COVID-19 tahap tiga, empat dan lima.

"Ini cabaran kita kena pastikan boleh ditandingi supaya tahap pentadbiran dan juga penjagaan kesihatan yang kita beri kepada pesakit adalah bagus," katanya semasa sidang video pada Rabu.

BACA: Beberapa hospital swasta nyata komitmen rawat pesakit COVID-19

TONTON: 
COVID-19 | Bersediakah hospital swasta menerima pesakit?

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kerajaan telah memperoleh komitmen daripada beberapa buah hospital swasta untuk menerima rujukan dan merawat pesakit COVID-19 bergantung kepada kapasiti dan kepakaran yang sedia ada.

Jelas beliau, sehingga kini, APHM telah mengenal pasti sebanyak 1,138 buah katil termasuk 70 buah katil kritikal di 97 buah hospital swasta di seluruh negara untuk tujuan itu.

Dalam pada itu kata Dr Kuljat, kekurangan kemampuan hospital swasta tidak boleh dibandingkan dengan hospital kerajaan.

Bagaimanapun ujarnya, hospital swasta memberi komitmen akan menguruskan mana-mana pesakit COVID-19 walaupun menghadapi kekurangan jika hospital kerajaan tidak lagi mampu menampung pesakit pandemik itu.