KUALA SELANGOR: Meskipun terpaksa berdepan dengan kesukaran ketika fasa pembinaanya termasuk musibah banjir, Hospital Tanjong Karang akhirnya siap sepenuhnya dan kini bersedia menerima pesakit.

Hospital yang menelan kos lebih RM277 juta itu dijangka akan mampu menampung keperluan rakyat di sekitar daerah tersebut selain hospital yang sedia ada ketika ini.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Hospital Tanjong Karang diharap mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik terutamanya dalam menampung keperluan semasa oleh hospital lain di sekitar kawasan terbabit.

" Pada masa ini, Hospital Tanjong Karang mempunyai 785 perjawatan termasuk 427 perjawatan baharu yang diagihkan pada tahun 2022, selaras dengan usaha menyokong operasinya yang telah dinaik taraf kepada sebuah Hospital Pakar Minor. Saya berharap dengan kapasiti ini, perkhidmatan Hospital Tanjong Karang baharu akan berjalan lancar.

"Sekiranya terdapat keperluan pertambahan perjawatan seiring dengan perkembangan perkhidmatan di hospital ini nanti, ia akan dilihat semula oleh pihak kementerian dari semasa ke semasa.

"Hospital Tanjong Karang baharu ini diharap dapat memberikan penambahbaikan kemudahan selari dengan populasi yang semakin bertambah di sini dan kawasan sekitar, serta menawarkan perkhidmatan yang lebih baik melalui penyediaan persekitaran kondusif untuk pesakit dan petugas kesihatan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Tanjong Karang di sini, hari ini.

Malah katanya lagi, Hospital Tanjong Karang akan digabungkan bersama Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam di bawah Hospital Kluster Selangor Zon Utara (KSZU) dengan Hospital Sungai Buloh berperanan sebagai 'lead hospital'.

Dengan status baharu sebagai Hospital Pakar Minor berkapasiti 150 katil, ia diharap akan dapat mengurangkan jumlah kes yang dirujuk ke Hospital Sungai Buloh yang terletak sejauh 62.3 kilometer dari Hospital Tanjong Karang, dengan mengambil masa perjalanan kira-kira selama 1 jam.

Kompleks baharu Hospital Tanjong Karang ini akan mula beroperasi pada 10 Oktober 2022.

Hospital ini juga katanya turut dilengkapi dengan 10 terminal bank dan akan beroperasi secara tanpa tunai (cashless).

Namun begitu, kutipan secara tunai akan turut diterima bagi pesakit yang tidak mempunyai kemudahan untuk membayar secara tanpa tunai.

Perkembangan ini katanya sedikit sebanyak membantu usaha KKM mempersiapkan masyarakat tanpa tunai atau 'cashless society'.

"Dengan terbinanya kompleks baharu ini, saya juga sukacitanya mengumumkan bahawa Hospital Tanjong Karang ini akan dinaik taraf daripada hospital tanpa pakar kepada Hospital Pakar Minor. Ini akan menjadikan hospital ini sebagai hospital pakar minor yang kedua di negeri Selangor." Katanya lagi.

Bermula pada 10 Oktober 2022, 10 bidang kepakaran akan diperkenalkan di hospital tersebut secara berfasa merangkumi Pembedahan, Kecemasan, Perubatan Umum, Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik,
Ortopedik, Anestesiologi, Radiologi, Patologi serta Bedah Mulut dan Maksilofasial.

Selain itu, hospital ini turut menawarkan perkhidmatan pakar secara lawatan bagi Otorinolaringologi (ORL), Oftalmologi, Psikiatrik dan Forensik.

Dengan adanya perkhidmatan kepakaran di hospital ini, sebanyak 3,000 kes rujukan melibatkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar yang lain, iaitu sebanyak RM 1.5 Juta, dapat dijimatkan kerana kes-kes bagi bidang-bidang tersebut boleh dilaksanakan di sini.

"Sebagai sebuah Hospital Pakar Minor, perkhidmatan radiologi di hospital ini juga perlu ditingkatkan. Oleh itu, satu (1) unit mesin CT- Scan akan ditempatkan di Hospital Tanjong Karang dan dengan ini, sekurang-kurangnya 1,200 kes rujukan pesakit dalam dan pesakit luar dari sini ke fasiliti luar dapat dikurangkan dengan penjimatan kos sebanyak RM600,000 setahun," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir Mohammad Zulkefly Sulaiman berkata, hospital tersebut juga merangkumi enam klinik pakar beserta kemudahan lengkap seperti dua unit dewan bedah, kemudahan lapan suit bersalin, haemodialysis, outdoor Physiotherapy selain kemudahan peralatan seperti pengimejan X-ray, ultrasound dan juga mammography.

"Selain itu terdapat juga future area iaitu persediaan ruang tanpa peralatan bagi dua unit dewan bedah, satu unit bilik X-ray, empat unit IacU Bay, satu ruang CT Scan dan satu ruang lif untuk menampung keperluan hospital di masa akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan pada tersebut.

Selain itu juga sebanyak 751 lot parkir termasuk 19 unit lot kenderaan orang kelainan upaya (OKU) bagi kemudahan pelawat juga turut disediakan.

Sebagai agensi teknikal yang mengawal selia projek kerajaan katanya, JKR telah melaksanakan penyeliaan secara kolistik melalui Sistem Kawal dan Lapor (SKALA), Sistem Pemantau Projek Bergambar (i-Supervision) dan Sistem Pengurus Bersepadu JKR yang mematuhi piawaian Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) berkait dalam sektor pembinaan.

JKR, jelas beliau, akan terus membudayakan pengurusan bersepadu itu dalam semua projek awam khususnya projek-projek hospital dan klinik kesihatan pada masa akan datang bagi mengekalkan tahap pengurusan projek yang baik.