SERIAN: Perubahan sesebuah kerajaan, baik Pusat mahupun negeri, akan memberi kesan besar kepada agenda pembangunan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tanpa kerjasama erat dan hubungan akrab di antara kedua-dua kerajaan, ia akan membantutkan projek pembangunan yang akhirnya menyusahkan rakyat.

"Saya mudah membangunkan Sarawak kerana hubungan saya dan Abang Johari rapat.

"Mungkin satu panggilan daripada Abang Jo mengenai kelewatan projek, saya akan ambil maklum dan percepatkan pelaksanaannya.

"Kalau Kerajaan Pusat mempunyai empat parti termasuk mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak, dalam dua minggu akan datang, (saya harap) GPS masih kekal sebagai kerajaan negeri.

"Dengan ini, projek pembangunan akan dapat dilaksanakan dengan mudah dan rakyat mendapat manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Seksyen Serian WPC 03, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jajaran bagi Seksyen Serian adalah sepanjang 33.65km. Seksyen ini melibatkan skop kerja menaik taraf jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin dengan kos projek sebanyak RM700 juta.

Tambah Ismail Sabri, beberapa lagi projek pembangunan di Sarawak sedang dirancang Kerajaan Pusat dan negeri.

"Perlu ada hubungan baik seperti GPS. GPS perlu menang.

"Saya bukan mahu berkempen, tetapi apa yang ingin saya katakan, hubungan rapat Kerajaan Pusat dan negeri penting," katanya.