KUALA LUMPUR : Datuk Seri Nancy Shukri akan memanfaatkan pengalaman dan hubungan baik bersama Jemaah Menteri daripada pelbagai parti politik untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baharu dilantik menyertai Kerajaan Perpaduan itu berkata, pelantikan itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang diberikan kepadanya.

"Dengan penuh takzimnya, saya menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah atas perkenan Baginda yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ketenteraman rakyat Malaysia.

"Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan beliau kepada saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu juga atas atas kepercayaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta seluruh kepimpinan parti dan aspirasi rakyat Sarawak.

"Tidak dilupakan juga kepada ahli-ahli keluarga yang sentiasa bersama menyokong saya pada setiap masa diikuti dengan seluruh warga dan kakitangan kerajaan yang sentiasa komited bertugas demi melaksanakan amanah rakyat," kongsi beliau lagi.

Nancy antara barisan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini, hari ini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis itu.

Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.