Hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akan lebih kuat dan berkesan sekiranya ditadbir oleh parti politik yang sama.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata peralihan kuasa di peringkat Pusat pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang lalu turut memberi kesan luar biasa kepada kepimpinan di peringkat Kerajaan Negeri Sarawak.

“Dengan itu kerjasama antara mereka (Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri perlu) lebih rapat, lebih kuat dan lebih berjaya kali ini kerana peralihan pemerintahan peringkat Pusat. Terdapat sesuatu yang luar biasa bagi Sarawak iaitu kerajaan negeri Sarawak tidak lagi daripada parti yang sama dengan kerajaan di peringkat Pusat.

“Dengan itu sudah tentu kerjasama antara dua pihak yang berlainan ini tidak sekuat seperti yang dikehendaki oleh rakyat,” katanya pada Program Berambeh Bersatu Sarawak yang berlangsung di sini hari ini.

Justeru itu katanya, kerajaan Sarawak perlu ditadbir oleh parti politik yang sama dengan pemerintahan di peringkat Pusat.

Beliau juga mahu rakyat memainkan peranan penting dalam penentuan kuasa pentadbiran di peringkat negeri Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak kelak.