KUALA LUMPUR: Korea Selatan dan Malaysia kini dalam perbincangan untuk meningkatkan hubungan dua hala sedia ada kepada Perkongsian Strategik.

Duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom berkata perkongsian itu bukan sekadar pengisytiharan semata-mata kerana ia akan mencorakkan hala tuju untuk mengadakan lebih banyak kerjasama berpotensi dalam segenap aspek merangkumi politik, ekonomi, budaya, serantau dan antarabangsa.

"Ia bakal menjadi momentum baharu antara Korea Selatan dan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada.

"Pada November 2019, kedua-dua kerajaaan pada dasarnya sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, kini kedua-dua pihak sedang membincangkan mengenai draf perjanjian itu," kata Lee kepada Bernama sempena Hari Yayasan Kebangsaan Korea Selatan yang disambut pada 3 Okt.

Mengulas lanjut, Lee berkata seiring dengan usaha itu adalah penting juga untuk kedua-dua pihak meneroka dan memperluas kerjasama, terutamanya dalam bidang baharu seperti penjagaan kesihatan, digital, kecerdasan buatan (AI), dan industri halal.

Beliau berkata memandangkan sektor penjagaan kesihatan global dan pendigitalan ekonomi berkembang pantas disebabkan pendemik yang berterusan, terdapat potensi besar untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang ini.

"Selain itu, kita perlu meneruskan usaha kita untuk meningkatkan persefahaman antara rakyat dan menggalakkan persahabatan kedua-dua negara.

"Saya yakin asas untuk perkongsian dua hala dapat diperkukuhkan lagi sambil meneruskan usaha untuk meningkatkan persefahaman melalui pelbagai inisiatif diplomasi awam dan penglibatan budaya," katanya.

Sepanjang tempoh tiga tahun sebagai duta Korea Selatan di sini, Lee berkata tidak dapat dinafikan bahawa "Gelombang Korea" di Malaysia telah memainkan peranan besar dalam memupuk persefahaman dalam konteks rakyat dengan rakyat.

Tambah beliau kerajaan Korea Selatan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menubuhkan Pusat Kebudayaan Korea apabila wujud keperluan itu bagi menggalakkan lagi pertukaran budaya.

"Saya rasa kesan positif yang diperoleh daripada Gelombang Korea tidak terhad kepada sektor kebudayaan semata-mata. Populariti filem, drama dan muzik Korea melangkaui industri hiburan sehingga mencakupi aspek lain di Korea -- bahasa, makanan, perjalanan, belajar dan sebagainya yang turut menarik minat.

"Tidak seperti aliran budaya lain... Gelombang Korea begitu unik dalam erti kata lain ia mampu berkembang sejauh ini berdasarkan interaksi dua hala." katanya.

Mengenai bidang antarabangsa, Lee berharap kedua-dua negara dapat bergabung tenaga untuk responds terhadap isu global, antara lain mengenai rantaian bekalan, pertumbuhan serantau dan keselamatan.

"Perkara ini amat penting sekarang, terutamanya ketika konflik dan ketegangan yang semakin sengit antara kuasa besar yang dikaitkan dengan kelembapan ekonomi global.

"Sambil kita bekerjasama dalam bidang ini, saya yakin kita bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan kita di rantau ini tetapi juga dapat meneroka bidang kerjasama baharu," tambah Lee.

Kira-kira 13,000 rakyat Korea kini berada di Malaysia. Tahun ini merupakan tahun ke-62 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Malaysia ialah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Korea Selatan di Asia Tenggara.

-- BERNAMA