Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mendesak pemimpin UMNO, PAS dan PKR memberi penerangan kepada rakan-rakan mereka dalam MCA dan DAP mengenai hukum Hudud yang akan dilaksanakan kerajaan Kelantan tahun depan.

Naib Presidennya, Hasri Harun berkata pemahaman kepada pemimpin MCA dan DAP perlu diberikan supaya tidak timbul lagi polemik mengenai hudud.

Katanya, hasil kajian yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu mendapati masyarakat awam yang bukan beragama Islam memahami apa yang dimaksudkan dengan hudud.

"Dalam kajian yang dibuat oleh beberapa pihak sebelum ini, walaupun ada penolakan dari sebahagian kecil masyarakat bukan Islam terhadap hudud, tetapi jika ada penerangan, ia tidak akan menjadi polemik.

"Polemik mengenai hudud ini ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik bukan dari masyarakat awam kerana mereka ini memahami apa itu hudud.

"Jadi kami (ABIM) berpendapat menjadi tanggungjawab UMNO, PAS dan PKR untuk memastikan pemimpin MCA dan DAP juga memahami tentang hudud supaya tidak timbul lagi polemik," katanya ketika di hubungi Astro AWANI.

Hasri juga dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berpendapat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin MCA-DAP seolah-olah menggambarkan bahawa UMNO-PAS-PKR gagal memberikan pemahaman yang sepatutnya terhadap undang-undang syariah kepada kedua-dua rakan politik mereka.

"Pelaksanaan hukuman hudud memerlukan political will (kesungguhan politik) yang kuat dalam bentuk sokongan serta pemahaman daripada MCA-DAP.

"Demi untuk membentuk political will yang kuat ini, UMNO-PAS-PKR perlu menggalas tanggungjawab untuk mengetengahkan pemahaman menyeluruh serta akademik terhadap pelaksanaan hukuman hudud. Baik UMNO, PAS dan PKR perlu mengelak retorik perkauman serta keagamaan yang keterlaluan dalam menangani polemik," katanya.

Hasri juga dalam kenyataannya berkata semua pihak perlu memainkan peranan mengelakkan Islamophobia daripada disemarakkan ekoran isu ini yang boleh menjejaskan kestabilan politik serta hubungan antara agama di negara ini.

Kerajaan Kelantan dilaporkan menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dikemukakan di Parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 dikuatkuasakan di Kelantan.