PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil kira pandangan ramai demi menjamin hak asasi bukan Islam dengan memberikan pengecualian kepada mereka daripada undang-undang syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan mengikut landasan demokrasi dalam proses melaksanakan undang-undang Syariah ini.

Beliau berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah diberikan ruang yang seluasnya untuk berbahas, menyokong dan membantah enakmen ini.

“PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah memekakkan telinga daripada mendengar teguran dan kritikan untuk penambahbaikan enakmen ini. Jadi, amatlah hairan dan pelik bagi pihak tertentu yang berterusan ingin menghalang proses demokrasi ini berlangsung.

“Mereka yang melaungkan slogan perjuangan hak asasi dan demokrasi sepatutnya mempraktikkan apa yang mereka kata itu dengan menjadi pejuang demokrasi yang tulen, bukannya menjadikan demokrasi itu milik eksklusif mereka sahaja.

“Pihak lain sepatutnya menghormati proses demokrasi yang sedang berlangsung ini," tambah beliau dalam satu kenyataan ini.

Beliau berkata ada pihak mendakwa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II ini bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia sedangkan mana-mana Mahkamah di Malaysia belum lagi membuat pengisytiharan bahawa enakmen tersebut terbatal.

Kelulusan Pindaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu masih belum boleh dilaksana sehingga mendapat kelulusan dari Parlimen.

“PAS dan Kerajaan Kelantan akan akur dengan apa jua keputusan Parlimen kelak,” kata Mahfuz.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Antara pindaan utama yang dibuat ialah undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan tidak akan melibatkan orang bukan Islam.

Di samping itu, pembentangan tersebut turut membuat pindaan yang lain demi penambahbaikan dan mengemaskini enakmen yang sudah berusia 22 tahun tersebut.

Hari ini DUN Kelantan sebulat suara telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

Kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.