Kerajaan Kelantan mengadakan pertemuan bersama DAP dan PKR pada Selasa bagi memberi penjelasan khusus tentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di negeri itu lapor, Harakhadaily.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang turut bersama dalam pertemuan itu memberitahu, perbincangan dibuat bertujuan untuk memberi penjelasan kerana rakan-rakan Pakatan Rakyat yang ingin tahu lebih lanjut mengenai hasrat Kelantan untuk membawanya ke Parlimen.

"Daripada apa yang kita jelaskan pada pandangan saya, positif... mereka faham apa yang Kerajaan Kelantan laksanakan walaupun pada dasarnya mereka tidak setuju, itu kita hormatilah.

"Sekurang-kurangnya mereka memahami pendirian dan keputusan kita," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pada Selasa.

Perjumpaan hampir dua jam di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur itu berlangsung hampir dua jam.

Wakil Kerajaan Kelantan diketuai Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Yaacob itu memberi penjelasan kepada pimpinan bukan Islam DAP dan PKR mengenai rancangan mereka.

Sementara itu, Mohd Amar turut mengalu-alukan sesiapa sahaja pemimpin bukan Islam lain untuk menemui mereka bagi mendapatkan penjelasan mereka.

“Soal setuju atau tidak setuju itu hak masing-masing, kita tidak akan paksa," katanya.

Turut bersama dalam perbincangan itu dua Naib Presiden PKR Tian Chua, anggota majlis pimpinan pusatnya Sivarasa Rasiah. Wakil DAP pula Timbalan Setiausaha Agung Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Kluang Liew Ching Tong dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Liew Ching Tong yang ditemui berkata, pihaknya telah mengutarakan pandangan dalam perbincangan itu bahawa isu hudud adalah bukan agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

Walaupun perbezaan pandangan katanya, rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat akan mencari titik persamaan dan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Kita masih dalam perbincangan. Kita harap semua boleh memahami isu dan risiko politik dalam isu ini. Kita telah terangkan pendirian kita, dan kongsikan pandangan masing-masing," katanya.