Nampak macam kereta mainan pun ada, tetapi inilah rupa kereta lumba berasaskan model Huracan terbaru Lamborghini yang akan mula digunakan di dalam siri Super Trofeo 2015.

Jika anda belum tahu, Super Trofeo adalah siri perlumbaan ‘one-make’ ataupun perlumbaan yang disertai hanya satu model kereta. Dalam kes ini, ia dianjurkan Lamborghini dan semenjak ia bermula pada tahun 2009 (Eropah); Asia pada tahun 2012, dan Amerika Utara bermula 2013, para pelumba menggunakan jentera Gallardo LP570-4.

Memandangkan model Gallardo telahpun diganti dengan Huracan, kereta-kereta lumba pun perlu ditukar. Beza antara kedua-dua kereta lumba amat ketara – paling penting adalah Huracan ini menggunakan pacuan roda belakang.

Selain daripada itu, kereta baru ini mempunyai kekuatan torsional 45% lebih baik daripada Gallardo terdahulu. ‘Roll cage’ yang digunakan mencapai hingga ke gandar belakang dan hanya seberat 43kg. Bahkan keseluruhan kereta juga agak ringan – 1,270kg, dengan imbangan berat 42%/58%.

Enjin 5.2 liter V10 sepertimana yang digunakan oleh model asasnya sekarang dikawal oleh unit kawalan Motec M812 untuk menghasilkan 620hp (tork pula 570Nm). Turut khusus untuk kereta lumba ini adalah penyokong enjin baru, klac 3 cakera dan transmisi ‘sequential’ XTrac yang direka khusus untuk Huracan Super Trofeo ini.

Lampu hadapan dan belakang menggunakan LED.

Dari faktor aerodinamik, jumlah ‘downforce’ diberikan penekanan menggunakan spoiler belakang yang mempunyai 10 kedudukan berlainan; di samping kit aero yang menyeluruh. Pirelli akan menjadi pembekal tayar tunggal siri perlumbaan ini, dan saiz tayar yang digunakan adalah 305/660-18 (depan) dan 315/680-18 (belakang).

Walaupun ‘traction control’ masih kekal, sistem ESP telah dinyahaktifkan, sesuatu yang memberikan pengendalian yang cukup berbeza berbanding Gallardo 570-4 dahulu.

Nota: Siri Super Trofeo Asia akan datang semula ke Sepang pada November 20 akan datang. Terus kemudian, pelumba-pelumba terbaik lain daripada siri-siri Eropah dan Amerika Utara akan turut berlumba untuk pusingan World Finals. Ini akan berlangsung daripada November 22 hingga 23. Jumpa anda di sana?!