Hutan di R&R Bintang Hijau Sungai Rui terbakar

Bernama
Mac 22, 2024 21:36 MYT
Kebakaran di Hentian Rehat & Rawat Bintang Hijau Sungai Rui, Gerik, tengah hari Jumaat melibatkan lalang di tepi jalan dan juga hutan di bukit setinggi 700 meter dengan anggaran keluasan 10 ekar. - Foto JBPM Perak
IPOH: Kawasan hutan bukit seluas 4.46 hektar di Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau Sungai Rui, Gerik terbakar tengah hari semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.27 tengah hari.
"Kita segera mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan bantuan lori tangki air dari BBP Pengkalan Hulu ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan lalang di tepi jalan dan juga hutan di bukit setinggi 700 meter anggaran keluasan 10 ekar (4 hektar)," katanya.
Beliau berkata pemadaman dilakukan dengan menggunakan pancutan air dari lori tangki air, pam racun serta pemerap api sehingga kebakaran berjaya dikawal dan hanya sisa-sisa kecil api masih terdapat di atas bukit.
Sabarodzi berkata operasi pemadaman ditangguhkan 7 petang semalam dan akan disambung pagi ini.
"Namun operasi pemantauan oleh anggota di lokasi masih lagi diteruskan bagi memastikan keadaan selamat dan tiada kemerebakan," katanya.
-- BERNAMA
#R&R Bintang Hijau Sungai Rui #bomba #kebakaran #hutan