KUALA LUMPUR: Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini menyatakan kesediaan disiasat mana-mana pihak atau agensi, berhubung kenyataannya mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM itu pada sidang media khas sebentar tadi turut kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan enam ahli lembaga itu, baru-baru ini.

"Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa.

"I have nothing to hide (saya tiada apa hendak disembunyikan). Dan saya tak khuatir, kerana apa yang kami (buat) ialah semua benar belaka.

"Sebagaimana yang telah saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa, yang lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat.

"Yang tujuan utamanya memerangi gejala jenayah rasuah dan salah guna kuasa tanpa khuatir, without fear or favour," katanya.

Abu Zahar juga berkata, beliau menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi LPPR.

BACA: Siasatan terhadap dakwaan salah laku Azam Baki masih terbuka - Abu Zahar 

Pemilikan Saham | Abu Zahar sedia disiasat

Mengulas lanjut mengenai kenyataan enam ahli LPPR tersebut, beliau percaya ia dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak dan masyarakat, semata-mata kerana tidak dilaporkan degan tepat dan menyeluruh oleh media.

Memperincikan lagi, Abu Zahar berkata, selepas sidang media pada 5 Jan lalu, beliau menerima pesanan WhatsApp daripada tiga ahli LPPR iaitu Datuk Seri Azman Ujang, Datuk David Chua Kok Tee dan Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan isu berkaitan dan pendirian LPPR.

"Di atas pandangan dan permintaan mereka, saya telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup pada tarikh 11 Jan 2022, jam 10 pagi di Pejabat Akademi SPRM, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Tiba-tiba, pada tarikh 8 Jan 2022, saya dapati kesemua enam ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat di antara mereka terlebih dahulu, tanpa memberitahu saya, dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media," ujarnya.

Pada 8 Jan lalu, enam ahli LPPR menegaskan, kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam adalah pendapat peribadi beliau.

Kenyataan tersebut mewakili Ismail, Azman, Chua, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

[TERKINI] Sidang Media Tan Sri Abu Zahar Ujang