KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk bekerjasama rapat dengan industri penerbangan dalam menjamin keselamatan sistem penerbangan ketika ia sedang memperkenalkan perkhidmatan teknologi 5G.

Menurut persatuan itu, kerajaan masih perlu mengekalkan tanggungjawab terhadap tahap keselamatan penumpang, kru penerbangan dan pesawat disebalik kepentingan ekonominya dalam menjadikan spektrum itu tersedia untuk menyokong telekomunikasi tanpa wayar komersial generasi akan datang.

Gesaan itu datang semasa mesyuarat industri di Doha, Qatar pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) IATA ke-78.

Sebelum membuat sebarang peruntukan atau lelongan spektrum, IATA meminta kerajaan memastikan penyelarasan yang erat dan persefahaman bersama antara spektrum negara dan pengawal selia keselamatan penerbangan supaya setiap peruntukan/penugasan frekuensi dikaji secara komprehensif dan terbukti tidak memberi kesan buruk kepada keselamatan serta kecekapan penerbangan.

"Ujian yang mantap dalam penyelarasan dengan pakar perkara penerbangan sangat penting dalam memberikan maklumat yang diperlukan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata banyak negara telah berjaya memudahkan keperluan penyedia perkhidmatan 5G sambil memasukkan mitigasi yang diperlukan untuk memelihara keselamatan penerbangan dan perkhidmatan tanpa gangguan.

Ini termasuk Brazil, Kanada, Perancis dan Thailand.

IATA juga menyeru kerajaan agar segera melaksanakan insentif berskala besar bagi mengembangkan penggunaan bahan api lestari penerbangan (SAF) secepat mungkin ketika penerbangan mengejar komitmennya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

"Dengan menggunakan dasar berasaskan insentif yang sama kepada SAF, kerajaan boleh menyokong pengeluaran SAF global untuk mencapai 30 bilion liter menjelang akhir dekad.

"Ini akan menjadi titik tolak kerana ia akan menghantar isyarat yang jelas kepada pasaran bahawa SAF memainkan peranan jangka panjang yang dimaksudkan dalam penyahkarbonan penerbangan selain menggalakkan pelaburan bagi meningkatkan pengeluaran dan menurunkan harga," katanya.

-- BERNAMA