Kulit depan buku Menunggu Godot
KITA ini barangkali dikutuk dan dihukum untuk jadi penunggu -- seperti Vladimir dan Estragon yang menanti Godot di bawah pohon di tepi sebatang jalan. Mereka menunggu, menunggu dan menunggu tetapi Godot tak pernah datang. Oleh kerana penat menunggu, mereka memutuskan untuk pergi.

"Nah, bagaimana? Boleh kita pergi?" tanya Vladimir.

"Ya, ayuh kita pergi," jawab Estragon.

Tetapi mereka tetap tidak berganjak -- setia menunggu biarpun Godot tidak datang-datang. Mereka menunggu, menunggu dan terus menunggu sehingga suatu jangka masa yang mereka sendiri sudah terlupa untuk mengingatinya -- apakah mereka telah menunggu selama sehari atau mungkin seminggu, atau apakah sebulan atau setahun. Atau mungkin bertahun-tahun.

Mereka menunggu, menunggu dan terus menunggu sehingga waktu tidak lagi jadi penting; sama seperti tidak pentingnya apakah Godot akan datang dan bila dia akan datang, malah untuk apa kalau benar dia akan datang. Bahawa mereka menunggu untuk suatu jangka waktu yang panjang dengan ketidaktentuan apakah penantian mereka itu akan berhasil pada akhirnya juga jadi tidak lagi penting. Malah penting atau tidaknya kehadiran Godot juga kemudiannya jadi tidak mustahak kerana setelah sekian lama menunggu, apa yang lebih penting ialah dia datang.

Begitulah Samuel Becket menutup babak pertama lakonnya dan begitu jugalah dia mengakhiri drama itu.

Vladimir dan Estragon itu adalah kita. Sebulan selepas pilihan raya umum, kita masih lagi menunggu pilihan raya itu selesai -- benar-benar selesai. Kita menunggu, menunggu dan terus menunggu. Kita menunggu pemimpin selesai berpolitik. Kita menunggu politik (dan pemimpin politik) bersih daripada fitnah, nista dan dusta. Kita menunggu pemimpin diuji dan menguji idea.

Kita menunggu itupun bukannya baru sekarang. Kita menunggu sejak selepas pilihan raya umum yang sebelumnya dan ketika itu memujuk hati bahawa semua ini akan selesai selepas pilihan raya yang akan datang. Tetapi nampak gayanya tidak -- dan kita menunggu lagi sehingga pilihan raya seterusnya.

Sementara menunggu itu, kita jadi seperti Vladimir dan Estragon. Kita berbual tentang harapan bahawa apa yang ditunggu-tunggu itu akan datang. Kita berbicara tentang itu dan ini, dan pergi balik kita tetap terus berbicara tentang hal-hal yang sama; yang itu, itu juga.

Penulis buku Menunggu Godot

Harapan itulah yang menghidupkan kita dari hari ke hari sehingga hari bertukar jadi minggu, minggu berganti jadi bulan dan bulan menjadi tahun -- sehingga datang pilihan raya yang lain. Kita -- seperti Vladimir dan Estragon -- bukan tidak pernah bosan menunggu tetapi akhirnya kita tetap saja setia dan kita masih di situ. Menunggu.

Vladimir dan Estragon pun tetap di situ setia menunggu biarpun mereka bebas dan merdeka untuk pergi kerana mereka cukup percaya bahawa Godot ada dan dia akan tiba. Mereka tetap menunggu biarpun hampir putus asa.

Naskhah Waiting for Godot yang ditulis oleh Beckett pada awa 1950-an adalah antara sebuah drama penting dunia. Ia mewakili semangat zaman pasca Perang Dunia Kedua tetapi semangat itu kekal relevan sehingga 60 tahun selepas ia dipentaskan untuk kali pertama di Paris kerana cerita manusia di mana-mana pada setiap zaman adalah sama. Krisisnya juga sama.

Bahawa kita menunggu perubahan dan menggantungkan harapan untuk sebuah masa depan adalah citra manusia sejagat. Tetapi kita berdepan dengan masa yang tidak berubah; masa yang beku sepanjang waktu kita menunggu. Kita jadi bagaikan orang yang terpenjara.

Maka kerana itulah apabila naskhah Waiting for Godot dipentaskan di penjara -- pertama kali di Luttringhausen, Jerman dan kemudian di San Francisco, Amerika Syarikat -- drama absurd itu cukup difahami oleh banduan.

Hanya mereka yang menunggu sesuatu tiba dan membuang-buang masa selama penantian itu saja yang akan memahami keresahan Vladimir dan Estragon. Ia memang satu pengalaman yang cukup pedih.

Tetapi kenapa Vladimir dan Estragon terus menunggu biarpun Godot tidak datang-datang? Hanya satu: kesetiaan. Mereka setia menunggu kerana adanya harapan.

Kita juga begitu -- yang menghidupkan kita adalah harapan. Kita bebas dan merdeka tetapi kerana setia kita akan tetap menunggu.


______________________________

NOOR AZAM SHAIRI menyimpan harapan ada rezeki untuk menyaksikan Waiting for Godot lakonan Ian McKellen dan Patrick Stewart di Broadway, New York hujung tahun ini.