Bukan senang untuk dicalonkan oleh tiga parti politik berbeza, kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

"Orang itu perlu istimewa. Bukan orang biasa boleh dicalonkan tiga parti berlainan," kata Ibrahim secara berseloroh.

Beliau merujuk kepada pencalonan dirinya sebagai calon pilihan raya bagi UMNO, PAS dan juga Parti Semangat 46 yang wujud dalam arena politik negara lewat 80an dan awal 90an.

Ibrahim berkata demikian ketika Majlis Pelancaran bukunya bertajuk "Perjuangan Tanpa Noktah" dan "The Misunderstood Man" di Saloma Bistro di sini petang Ahad.

Ibrahim turut berkongsi pengalamannya dalam politik Malaysia dengan lebih 500 tetamu yang menghadiri majlis tersebut.

"Banyak pengalaman saya sepanjang hidup, tetapi tidak semua boleh dimasukkan ke dalam buku ini.

"Kalau masuk semua nanti lebih 2,000 muka surat. Siapa hendak baca buku tebal sampai begitu?" kata Ibrahim.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, ADUN Ayer Hitam Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Datuk Tan Sri Sanusi Junid, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Ling Liong Sik.