KUANTAN: Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan dalam membasmi masalah sosial yang semakin membimbangkan selain memantau aktiviti dan mengenal pasti rakan terdekat anak mereka, titah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka bertitah isu disiplin dan penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga harus diberi perhatian.

Baginda bertitah perhatian dan kasih sayang perlu diberikan kepada anak-anak supaya mereka tidak rasa tersisih dan membawa haluan sendiri, malah bimbingan dan didikan agama yang mantap juga perlu dititipkan kerana ia mampu membentuk sahsiah yang baik.

"Murid perlu mempunyai sahsiah dan jati diri yang baik dengan mengamalkan nilai murni seperti menghormati dan mendengar nasihat ibu bapa, guru serta orang yang berpengalaman.

"Setiap kali saya datang ke sekolah ini saya mesti nasihatkan ibu bapa, sekolah juga harus memainkan peranan...saya begitu tegas dengan anak-anak, mereka mesti masuk tidur awal...kerana cukup tidur buatkan segar dan boleh tumpu ketika belajar di dalam kelas," titah baginda semasa berucap pada Majlis Aspresiasi Pendidikan Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah Ke-18 Tahun 2022 di Indera Mahkota di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Pengarah Pendidikan Negeri Mohammad Rosli Abdul Rahman dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah Sharipah Hadibah Habib Noh.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut mencemar duli mengurniakan 111 anugerah kecemerlangan dan 10 anugerah Tokoh Murid selain berkenan meluangkan masa melawat pameran dan menyaksikan persembahan tarian serta bicara berirama.

Tunku Azizah juga menitahkan agar sekolah di Pahang dinaik taraf demi kebaikan dan keselesaan pelajar.

"Kita semua tahu tanpa pendidikan, rakyat dan negara tidak boleh maju serta melalui pendidikan sahaja kita boleh hapuskan kemiskinan, jadi saya minta dan harap menteri dapat tunaikan permohonon negeri Pahang ini," titah baginda.

Raja Permaisuri Agong juga berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak kepimpinan sekolah terus berganding bahu bagi meningkatkan prestasi dan keberhasilan murid.

Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dengan prestasi kecemerlangan akademik dan kokurikulum Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah meskipun berhadapan suasana pandemik COVID-19 sebelum ini.

-- BERNAMA